Terapi Hutan Berpotensi Jadi Tarikan Baharu Ekopelancongan Sarawak | Universiti Putra Malaysia 99 spel-int
» ARTICLE » Terapi Hutan Berpotensi Jadi Tarikan Baharu Ekopelancongan Sarawak

Terapi Hutan Berpotensi Jadi Tarikan Baharu Ekopelancongan Sarawak

Article Summary
apabila seseorang meluangkan masa di hutan, deria akan dirangsang secara semula jadi melalui pengalaman menghirup udara segar, menghidu bau daun basah, mendengar kicauan burung dan menikmati cahaya lembut di bawah kanopi pokok. Keadaan ini memberi isyarat kepada tubuh bahawa persekitaran berada dalam keadaan selamat, seterusnya membantu menurunkan tahap stres dan membangkitkan rasa tenang iaitu satu proses pemulihan semula jadi yang berlaku tanpa disedari.


Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin






Keunikan hutan hujan tropika Sarawak yang kaya dengan biodiversiti serta masyarakatnya yang hidup harmoni dengan alam menjadikan negeri ini berpotensi besar muncul sebagai hab terapi hutan atau forest therapy utama di Asia Tenggara, seiring dengan trend global yang menjadikan alam semula jadi sebagai pendekatan kesihatan dan kesejahteraan berasaskan sains.

 

Menurut Pensyarah Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), Dr. Keeren Sundara Rajoo, Sarawak mempunyai kelebihan ekologi dan budaya yang tidak terdapat di tempat lain. Keunikan flora dan fauna tropika, serta cara hidup komuniti yang dekat dengan alam, menjadikan negeri itu lokasi ideal untuk memulakan program terapi hutan secara sistematik dan mampan.

 

“Terapi hutan boleh menjadi satu bentuk ekopelancongan kesihatan yang memberi manfaat berganda. Selain membantu kesejahteraan fizikal dan mental masyarakat, ia juga berpotensi menjadi sumber ekonomi baharu bagi komuniti luar bandar, asalkan pelaksanaannya tidak memusnahkan ekosistem hutan yang ingin kita pelihara.”

 

“Kejayaan Jepun dan Korea Selatan dalam membangunkan terapi hutan wajar dijadikan model rujukan. Negara-negara tersebut membina trek dan pusat terapi hutan dengan kawalan ketat terhadap kelestarian alam, di samping melaksanakan penyelidikan berterusan mengenai kesan fisiologi terhadap manusia. Pendekatan yang sama boleh diterapkan di Sarawak melalui kerjasama antara kerajaan negeri, agensi pelancongan, komuniti tempatan dan universiti penyelidikan seperti UPMS.”


“Kita boleh membangunkan modul terapi hutan yang berasaskan budaya serta ekosistem tempatan, contohnya dengan melibatkan komuniti pribumi yang sememangnya mempunyai hubungan spiritual dengan hutan. Dengan cara ini, terapi hutan bukan sahaja berfungsi sebagai aktiviti kesihatan, tetapi juga sebagai usaha memulihara nilai warisan,” katanya.

 

Walaupun istilah forest therapy mungkin kedengaran baharu dalam konteks Malaysia, hakikatnya konsep ini sangat dekat dengan amalan budaya tempatan. Masyarakat Melayu dahulu mengamalkan mandi embun sebagai kaedah menyegarkan tubuh dan menenangkan fikiran, manakala masyarakat Iban pula memiliki upacara Tukang Sabak yang melibatkan latihan serta zikir di hutan bagi memperkukuh daya ingatan dan tumpuan. Kedua-duanya mencerminkan kefahaman bahawa alam semula jadi mempunyai tenaga penyembuh yang tidak ternilai.

Dalam konteks moden, terapi hutan didefinisikan sebagai aktiviti menyelami suasana hutan dengan penuh kesedaran (mindfulness) serta menggunakan deria untuk menikmati bau, bunyi dan pemandangan alam sekitar. Konsep ini berasaskan Shinrin-Yoku, yang diperkenalkan di Jepun pada tahun 1982 sebagai kaedah rawatan pencegahan kesihatan awam.

Menurut Dr. Keeren, pelaksanaan terapi hutan bukan sekadar berjalan di tengah rimba, tetapi melibatkan pendekatan saintifik yang menilai kesan aktiviti tersebut terhadap fisiologi manusia.

“Kajian antarabangsa menunjukkan bahawa terapi hutan mampu menurunkan kadar denyutan jantung dan paras hormon kortisol, iaitu hormon stres utama dalam tubuh manusia. Dalam jangka panjang, ia dapat membantu mengurangkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi serta gangguan mental seperti kemurungan dan kebimbangan,” katanya.

Beliau berkata faedah terapi hutan melangkaui kesan fizikal semata-mata. Pendedahan kepada persekitaran semula jadi dapat menenangkan minda, memperbaiki tumpuan dan meningkatkan daya pemikiran kreatif. 

 

“Keadaan ini berlaku kerana otak manusia bereaksi terhadap persekitaran yang damai dengan mengaktifkan bahagian yang berkaitan dengan emosi positif.

Beliau turut menjelaskan bahawa apabila seseorang meluangkan masa di hutan, deria akan dirangsang secara semula jadi melalui pengalaman menghirup udara segar, menghidu bau daun basah, mendengar kicauan burung dan menikmati cahaya lembut di bawah kanopi pokok. Keadaan ini memberi isyarat kepada tubuh bahawa persekitaran berada dalam keadaan selamat, seterusnya membantu menurunkan tahap stres dan membangkitkan rasa tenang iaitu satu proses pemulihan semula jadi yang berlaku tanpa disedari.




Beliau turut menegaskan keperluan Malaysia membangunkan rangka kerja nasional terapi hutan yang merangkumi aspek penyelidikan, pelancongan dan pendidikan awam. Setiap kawasan hutan yang dijadikan tapak terapi, katanya, perlu dikawal secara berhemah dengan pemantauan profesional serta penglibatan aktif masyarakat setempat.

Menurutnya, Sarawak mempunyai peluang besar untuk menjadi perintis dalam pelaksanaan inisiatif ini. Jika dilaksanakan secara berstruktur, negeri itu berpotensi muncul sebagai hab terapi hutan Asia Tenggara, bukan sahaja kerana keindahan alam semula jadinya, tetapi juga disebabkan oleh kefahaman mendalam masyarakat terhadap hubungan spiritual dan keseimbangan dengan alam.

Pembangunan terapi hutan, tegas beliau, bukan sekadar usaha rekreasi atau pelancongan, tetapi merupakan pelaburan jangka panjang dalam kesihatan awam dan kelestarian ekosistem.

Usaha ini turut seiring dengan agenda nasional untuk mempromosikan kesejahteraan holistik yang menekankan keseimbangan antara manusia dan alam sekitar.

Date of Input: 31/10/2025 | Updated: 31/10/2025 | syamilakamarul

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYLBBAX~