FSPH UPM Sarawak Unik Sebagai ‘living Lab’ Pertanian Dan Perhutanan Tropika | Universiti Putra Malaysia 99 spel-int
» ARTICLE » FSPH UPM Sarawak unik sebagai ‘living lab’ pertanian dan perhutanan tropika

FSPH UPM Sarawak unik sebagai ‘living lab’ pertanian dan perhutanan tropika

Article Summary
Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) menonjol sebagai fakulti unik yang berperanan sebagai ‘living lab’ pertanian dan perhutanan tropika, menggabungkan ekosistem semula jadi Borneo dengan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman bagi melahirkan graduan yang berpengetahuan, berkemahiran dan beretika dalam bidang agro dan perhutanan moden.


Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim

 


Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) menonjol sebagai fakulti unik yang berperanan sebagai ‘living lab’ pertanian dan perhutanan tropika, menggabungkan ekosistem semula jadi Borneo dengan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman bagi melahirkan graduan yang berpengetahuan, berkemahiran dan beretika dalam bidang agro dan perhutanan moden.

 


Dekan FSPH, Prof. Madya Dr. Noorasmah Saupi, berkata keunikan fakulti ini terletak pada lokasinya yang strategik berhampiran ladang pertanian, hutan simpan, kawasan pesisir dan penempatan luar bandar yang menjadikannya platform ideal untuk pelajar menjalani latihan amali serta penyelidikan lapangan secara langsung di persekitaran sebenar. Beliau menjelaskan bahawa kombinasi antara sains moden dan kearifan tempatan turut diterapkan dalam pengajaran, selaras dengan konteks pertanian dan perhutanan tropika di Sarawak.

 


FSPH turut menjalin kerjasama erat dengan pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Pertanian Sarawak, Jabatan Hutan Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dan Sarawak Forestry Corporation. Jalinan ini membuka peluang luas kepada pelajar dan penyelidik dalam bidang latihan industri, penyelidikan terapan serta pembangunan profesional, sekali gus memperkukuh hubungan universiti dengan sektor kerajaan dan industri tempatan.

 


Selain itu, fakulti berkenaan memberi tumpuan kepada bidang-bidang utama yang menjadi teras kepada keperluan sektor pertanian dan perhutanan negara, antaranya Pertanian Lestari dan Teknologi Hijau, Pengurusan Sumber Hutan dan Biodiversiti Tropika, Agroteknologi dan Bioteknologi Tanaman, serta Perikanan dan Penternakan Tropika. Keutamaan ini selaras dengan usaha negara memperkukuh keterjaminan makanan, kelestarian sumber semula jadi dan pembangunan komuniti luar bandar.

 


Menurut Prof. Madya Dr. Noorasmah Saupi, hala tuju fakulti ini memberi tumpuan kepada usaha melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, tetapi juga beretika serta berdaya saing dalam industri pertanian dan perhutanan tropika. FSPH, katanya, memainkan peranan penting dalam menyokong agenda nasional berkaitan keterjaminan makanan, kelestarian sumber semula jadi dan pembangunan luar bandar melalui pendidikan serta penyelidikan berimpak tinggi.

 


Beliau menambah, pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) yang diamalkan di FSPH menggabungkan elemen hands-on, pembelajaran berteraskan komuniti, latihan industri serta penyelidikan dan inovasi. Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh kemahiran teknikal pelajar, tetapi turut membentuk kepimpinan, empati sosial dan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar, selaras dengan misi UPM untuk melahirkan graduan yang berilmu dan berbakti kepada masyarakat.

Date of Input: 31/10/2025 | Updated: 31/10/2025 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYLBKAP~