Bunga Kencana Dan Rusa Sambar Diabadikan Dalam Gold Bar Edisi Khas UPMS 2025 | Universiti Putra Malaysia 99 spel-int
» ARTICLE » Bunga Kencana dan Rusa Sambar diabadikan dalam gold bar edisi khas UPMS 2025

Bunga Kencana dan Rusa Sambar diabadikan dalam gold bar edisi khas UPMS 2025

Article Summary
Gold bar edisi khas UPMS 2025 seberat 0.5 gram mula dijual sempena Majlis Konvokesyen UPM ke-49 pada harga RM350 seunit, sebagai tanda penghargaan terhadap warisan, kreativiti dan semangat perpaduan yang menjadi nadi universiti.


Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin





Diinspirasikan daripada warisan seni dan biodiversiti tempatan, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) memperkenalkan gold bar edisi khas UPMS 2025, yang menampilkan motif Bunga Kencana dan Rusa Sambar sebagai simbol keharmonian, kebanggaan serta identiti pelbagai etnik di bumi Kenyalang.

Pengarah UPMS, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, berkata reka bentuk gold bar berkenaan menggabungkan elemen tenunan songket etnik Sarawak yang dihasilkan secara kreatif oleh warga universiti sendiri, sebagai penghargaan terhadap kehalusan budaya dan semangat perpaduan masyarakat setempat.

“Setiap ukiran pada gold bar ini membawa makna tersendiri, melambangkan keharmonian dan kebanggaan pelbagai etnik di negeri ini yang hidup bersama dalam suasana saling menghormati,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa motif yang digunakan turut diangkat sebagai elemen visual rasmi Konvokesyen UPM ke-49, menjadikan gold bar tersebut sebahagian daripada kesinambungan simbolik universiti yang berteraskan nilai ilmu, warisan dan identiti tempatan.

“Elemen biodiversiti tempatan turut diterapkan dalam rekaan ini, menzahirkan hubungan erat antara manusia, ilmu dan alam sekitar yang juga mencerminkan semangat UPM sebagai universiti berteraskan kelestarian, pertanian dan sains,” ujarnya.

Dua corak utama iaitu Bunga Kencana dan Rusa Sambar dipilih untuk diabadikan pada gold bar sebagai penghormatan terhadap flora dan fauna ikonik UPMS yang dekat di hati warga dan alumni.



“Pemilihan ini mencerminkan keunikan biodiversiti tempatan dan mengangkat simbol yang menjadi kebanggaan negeri serta universiti,” tambah beliau.



Prof. Dr. Shahrul Razid berkata, penghasilan gold bar edisi khas ini bukan sekadar peringatan terhadap perisytiharan nama baharu UPMS, tetapi juga simbol nilai abadi yang menggambarkan perjalanan universiti dalam membina identiti tersendiri.

“Dengan mengabadikan momen penting ini dalam bentuk emas, UPMS bukan sahaja menyemarakkan kenangan, tetapi juga mencipta legasi yang bernilai dan kekal sepanjang zaman,” jelasnya.

Gold bar edisi khas UPMS 2025 seberat 0.5 gram mula dijual sempena Majlis Konvokesyen UPM ke-49 pada harga RM350 seunit, sebagai tanda penghargaan terhadap warisan, kreativiti dan semangat perpaduan yang menjadi nadi universiti.

Date of Input: 31/10/2025 | Updated: 31/10/2025 | syamilakamarul

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYKfWAE~