Article Summary
Pendekatan hidroponik membolehkan penggunaan air dikurangkan sehingga 90 peratus berbanding pertanian biasa. Ia juga menggalakkan penggunaan sumber secara lebih efisien serta menyokong matlamat kelestarian universiti
Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
SERDANG, 19 Oktober – Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) terus menerajui amalan kelestarian makanan di kampus melalui pelaksanaan Projek Pertanian Putra: Hidroponik @ KSR 2025, yang menggabungkan teknologi pertanian moden dengan prinsip pembangunan mampan universiti.
Projek ini dilaksanakan oleh Sekretariat Kelestarian Makanan dan Kelestarian Hijau Kolej Sri Rajang (KSR) dengan penglibatan aktif pelajar Diploma Sains Pertanian. Melalui projek ini, pelajar diberi peluang untuk menerapkan kemahiran pertanian lestari secara praktikal serta memahami konsep keselamatan makanan dalam konteks kampus hijau.
Menurut ahli projek, Ezra Efeius, sistem hidroponik digunakan bagi menggantikan kaedah penanaman konvensional yang memerlukan tanah dan penggunaan air yang tinggi.
“Kaedah Deep Flow Technique (DFT) diaplikasikan untuk membekalkan nutrien secara berterusan kepada tanaman, seterusnya memastikan pertumbuhan yang lebih sihat dan hasil yang berkualiti.
Pendekatan hidroponik membolehkan penggunaan air dikurangkan sehingga 90 peratus berbanding pertanian biasa. Ia juga menggalakkan penggunaan sumber secara lebih efisien serta menyokong matlamat kelestarian universiti,” katanya.
Pelaksanaan projek ini melibatkan keseluruhan proses pertanian termasuk pemasangan sistem paip, penyemaian benih, pemindahan anak pokok, pembajaan, pemeriksaan tanaman dan jualan hasil. Pendekatan menyeluruh ini bukan sahaja memperkukuh kemahiran praktikal pelajar, malah membentuk mereka sebagai individu yang mahir dan berdaya saing dalam bidang pertanian moden.
Beliau menambah bahawa hasil tanaman seperti sawi dan bayam dijual kepada warga kampus bagi menyokong aktiviti kelestarian kolej.
“Inisiatif ini juga selari dengan komitmen UPMKB terhadap Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2, Tiada Kelaparan dan SDG 12, Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Kolej Sri Rajang, UPMS akan terus memperluas usaha ini sebagai model pertanian lestari kampus yang boleh dijadikan contoh kepada institusi pendidikan lain di Malaysia.
Date of Input: 31/10/2025 | Updated: 31/10/2025 | syamilakamarul

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA