UPM Perkasa Pengantarabangsaan Mahasiswa Menerusi Program Mobiliti PINTAR 2026 Di Jepun | Universiti Putra Malaysia 99 spel-int
» NEWS » UPM perkasa pengantarabangsaan mahasiswa menerusi Program Mobiliti PINTAR 2026 di Jepun

UPM perkasa pengantarabangsaan mahasiswa menerusi Program Mobiliti PINTAR 2026 di Jepun

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

FUKUOKA, 11 Nov – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan mahasiswa menerusi penyertaan Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu dalam program mobiliti antarabangsa Global Agrotech Explorer to Japan: Pertanian Inovatif dan Teknologi Arus Global (PINTAR) 2026 yang berlangsung di Kyushu Institute of Technology (Kyutech), Jepun, di sini.

 

Kehadiran Prof. Dr. Arifin dalam program berkenaan, khususnya menerusi penyertaan dalam 14th International Symposium on Applied Engineering and Sciences (SAES 2026) yang berlaangsung pada 9 hingga 10 November 2026 mencerminkan komitmen universiti dalam memperluas jaringan akademik antarabangsa serta menyediakan peluang kepada mahasiswa untuk didedahkan kepada perkembangan penyelidikan, kejuruteraan dan sains di peringkat global.

 

Ini adalah sejajar dengan aspirasi Pelan Pemacu Kesohoran Global Putra 2026–2035 yang memberi penekanan kepada pemerkasaan jaringan antarabangsa, kecemerlangan akademik dan penyelidikan serta pengukuhan reputasi UPM sebagai universiti berimpak global melalui kerjasama strategik dengan institusi terkemuka dunia.

 

Program PINTAR 2026 yang melibatkan 11 mahasiswa UPM itu dianjurkan oleh Kesatuan Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (KMUPM) Sesi 2025/2026 dengan kerjasama Kelab Bacelor Teknologi Pertanian Pintar (BTPP), Fakulti Pertanian, Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM), Pusat Antarabangsa Putra (i-PUTRA) serta Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN) UPM. Delegasi diketuai Pengarah Program, Santhus Mohanasundram, dengan iringan Penasihat Kelab BTPP, Dr. Jasmin Arif Shah dan Pengarah CEM, Profesor Madya Dr. Hizmawati Madzin.

 

Selain penyertaan dalam simposium antarabangsa, program itu turut merangkumi inisiatif Siswapreneur@Kyutech, iaitu program keusahawanan mahasiswa selama dua hari anjuran CEM UPM. Inisiatif tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai inovasi, pembangunan idea perniagaan dan ekosistem keusahawanan antarabangsa, sekali gus menggalakkan pemikiran kreatif serta penerokaan peluang perniagaan di peringkat global.

 

Menerusi program mobiliti ini, mahasiswa bukan sahaja berpeluang memperluas pengalaman pembelajaran di luar negara, malah dapat membina jaringan antarabangsa, meningkatkan keyakinan diri serta mengembangkan kompetensi dalam bidang akademik dan keusahawanan selaras dengan aspirasi UPM melahirkan graduan berdaya saing di peringkat global.

 

 

 

Date of Input: 11/11/2026 | Updated: 11/11/2026 | eszereen

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BZLQPA7~