UPM Dan NBM Perkukuh Kolaborasi Strategik Dalam Industri Akuakultur | Universiti Putra Malaysia 99 spel-int
» NEWS » UPM dan NBM perkukuh kolaborasi strategik dalam industri akuakultur

UPM dan NBM perkukuh kolaborasi strategik dalam industri akuakultur

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Saleha Haron

 

SERDANG, 13 Ogos - Universiti Putra Malaysia (UPM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Naturale Biotech Management Sdn. Bhd. (NBM) bagi memperkukuh kolaborasi strategik dalam industri akuakultur, khususnya penternakan udang harimau bebas toksin dan bahan kimia.

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, inisiatif ini selari dengan Blueprint Keterjaminan Makanan UPM yang menjadi panduan strategik universiti dalam memperkukuh keselamatan makanan negara.

 

“Kerjasama ini menggariskan pendekatan holistik merangkumi penyelidikan, inovasi teknologi, pembangunan kapasiti dan penglibatan industri bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi, selamat, berkualiti dan mampan,” katanya.

 

Pengarah Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS), UPM, Prof. Dr. Ahmad Zaharin Aris, berkata hubungan rapat antara akademia dan industri adalah penting untuk menterjemahkan hasil penyelidikan ke dalam industri.

 

“Sebagai peneraju dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi akuakultur yang lestari peranan hasrat I-AQUAS adalah untuk memperluaskan hasil akademik dan penyelidikan supaya dimanfaatkan bukan sahaja oleh industri malah  kepada komuniti,” katanya.

 

Selain itu, kerjasama ini memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu pembangunan dan kajian akuakultur, penubuhan Living Lab serta latihan dan pembelajaran berasaskan TVET. Pelaksanaan tersebut akan dilakukan secara berfasa selama lima tahun, bermula 2025 hingga 2030, berpandukan Pelan Tindakan Bersama yang dipersetujui.

 

Pengarah Pemasaran NBM, Tan Keng Heok, berkata pihaknya melihat peluang besar untuk memperkukuh struktur perniagaan yang lebih mampan dan bekerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan khususnya berkaitan probiotik, enzim serta pengurusan penyakit

 

“Ini secara langsung dapat mengembangkan perniagaan penternakan udang harimau dengan lebih baik dan perancangan kami adalah untuk mewujudkan pusat akuakultur untuk melahirkan aquapreneur baharu dalam memperkembangkan industri ini,” katanya.

Date of Input: 14/08/2025 | Updated: 14/08/2025 | eszereen

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYIOWAs~