Oleh: Zarith Sofea Ibrahim
BINTULU, 3 Nov - Bermula dengan minat terhadap kopi dan modal terhad, Putera Zulqarnain Al Amsyar Yasser Arrafat, 20, membuktikan bahawa kesibukan sebagai mahasiswa bukan penghalang untuk menceburi bidang keusahawanan apabila berjaya mengembangkan jenama 13 Points dari bilik asrama hingga ke Port Dickson, Negeri Sembilan.
Graduan Diploma Pengurusan Perniagaan Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) itu berkata, idea memulakan perniagaan tercetus daripada minatnya terhadap kopi serta keinginan membina perniagaan sendiri tanpa perlu menunggu sehingga tamat pengajian.
“Bagi saya, saya tidak perlu menunggu sehingga tamat pengajian atau mempunyai modal yang besar untuk memulakan sesuatu. Saya percaya bahawa setiap impian boleh dimulakan dengan langkah kecil, asalkan kita berani mencuba dan sanggup belajar,” katanya.
Menurutnya, perniagaan 13 Points yang pada awalnya beroperasi dari bilik asrama kemudian berkembang ke Kafeteria 2 UPMS dengan menawarkan pelbagai pilihan minuman berasaskan kopi, pastri dan makanan.
Antara produk yang ditawarkan termasuk biskut lembut (soft cookies), kek mentega, laksa Sarawak dan mi kolok bagi memenuhi cita rasa pelanggan.
Perniagaannya terus berkembang apabila berpeluang membuka gerai jualan sementara (pop-up store) di Port Dickson, selain menyertai acara di Hotel Golden Palm Tree Sepang dan Meowdeka bagi memperkenalkan jenama itu kepada lebih ramai pelanggan.
Bagaimanapun, anak kedua daripada empat beradik yang berasal dari Negeri Sembilan itu mengakui bukan mudah untuk mengimbangi tanggungjawab sebagai pelajar dengan komitmen menguruskan perniagaan.
“Cabaran terbesar saya ialah mengimbangi tanggungjawab sebagai pelajar dan usahawan, khususnya dalam membahagikan masa antara kelas, tugasan akademik dan urusan perniagaan,” katanya.
Putera Zulqarnain berkata, pengalaman mengusahakan perniagaan sepanjang pengajian banyak mengajarnya mengenai disiplin, pengurusan masa dan keberanian merebut peluang, selain menghargai sokongan keluarga serta rakan-rakan.
Beliau menyifatkan kejayaan menamatkan pengajian sempena Majlis Konvokesyen UPM Ke-50 sebagai pencapaian bermakna selepas melalui pelbagai cabaran dalam membahagikan masa antara akademik dan perniagaan.
Katanya, kejayaan itu turut menjadi pembakar semangat untuk terus mengembangkan perniagaan, termasuk memperluas pasaran jenama 13 Points ke kampus UPM di Serdang, Selangor.
“Selepas bergraduat, saya berhasrat untuk membawa 13 Points ke UPM Serdang dan memperkukuh jenama ini dengan meningkatkan kualiti produk serta memberikan pengalaman kopi yang lebih baik kepada pelanggan,” katanya.
Beliau turut berharap pengalamannya dapat memberi inspirasi kepada mahasiswa lain supaya berani menceburi bidang keusahawanan walaupun bermula secara kecil-kecilan.
Menurutnya, kekurangan modal bukan alasan untuk tidak mencuba kerana usaha berterusan, keberanian mengambil peluang dan kesediaan untuk belajar mampu menjadi asas kepada kejayaan dalam perniagaan.
Date of Input: 03/11/2026 | Updated: 03/11/2026 | hairul_nizam

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA