Oleh: Noor Eszereen Juferi

KUALA LUMPUR, 24 Sept – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) menjalinkan kerjasama strategik dengan Nestlé Malaysia bagi memperluas pendidikan halal berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada pelajar sekolah menerusi program HalSTEM.
Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan memperkukuh pelaksanaan program HalSTEM termasuk pembangunan modul pembelajaran, latihan dan aktiviti jangkauan bagi memberi pendedahan praktikal kepada pelajar tentang peranan sains dan teknologi dalam industri halal.
HalSTEM merupakan gabungan konsep Halal dan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) yang bertujuan untuk mengintegrasikan prinsip halal dengan ilmu sains dan teknologi serta mendedahkan peserta kepada aplikasi dan perkembangan teknologi dalam industri halal.

Majlis pertukaran MoU itu berlangsung sempena Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) di sini dan disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan bersama Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Profesor Dr. Shamsul Bahri Md Tamrin, Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Kumpulan Nestlé Malaysia dan Singapura, Yang Mulia Raja Nurmaria Murni Raja Azmi dan Ketua Hal Ehwal Halal Nestlé Malaysia, Nasrul Hadi Mohamed Nor.
Profesor Dr. Shamsul Bahri, berkata kerjasama itu membuka peluang kepada UPM untuk memperluas perkongsian kepakaran bersama industri dalam pembangunan program, latihan, penyelidikan dan inisiatif advokasi halal.
“Ini adalah peluang yang sangat baik untuk universiti memperluas perkongsian kepakaran antara universiti dengan industri, khususnya dalam pembangunan program, latihan, penyelidikan serta inisiatif advokasi halal.
“Kita berharap gabungan kekuatan universiti dan pengalaman industri ini dapat menyumbang kepada pembangunan ekosistem halal yang bukan sahaja berintegriti malah progresif, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.
Ketua Hal Ehwal Halal Nestlé Malaysia, Nasrul Hadi Mohamed Nor, berkata sebagai Pusat Kecemerlangan Halal Global Nestlé, kami melihat peranan penting dalam berkongsi pengalaman dan kepakaran bagi memperkukuh ekosistem halal secara menyeluruh.
“Melalui HalSTEM kami mahu membantu generasi muda memahami bahawa halal turut berteraskan sains, teknologi dan piawaian kualiti yang ketat. Dengan menggabungkan pembelajaran di dalam kelas, aktiviti amali dan pendedahan kepada industry ia dapat menyemarakkan minat terhadap STEM serta membuka perspektif pelajar tentang pelbagai peluang kerjaya dalam industri halal,” katanya.
Pengarah IPPH UPM, Profesor Dr. Awis Qurni Sazili, berkata kerjasama antara universiti dengan industri penting bagi memastikan program HalSTEM dapat dilaksanakan secara lebih meluas dan memberi manfaat kepada masyarakat.
“Pendidikan halal perlu menggabungkan pemahaman sains dan syariah kerana kedua-duanya saling melengkapi dalam usaha memelihara integriti serta kesucian halal.

“Melalui HalSTEM kami mahu memupuk kesedaran dan minat generasi muda terhadap STEM serta menunjukkan bahawa prinsip halal boleh diterapkan dalam bidang sains dan teknologi. Pendekatan ini juga berpotensi menjadi model pendidikan yang boleh diterima dan disesuaikan dalam pelbagai konteks di peringkat antarabangsa,” katanya.
Selain itu, IPPH, UPM komited membina dan memelihara integriti halal menerusi dua bidang utama, iaitu pendidikan dan perkhidmatan dengan HalSTEM menjadi antara inisiatif yang menghubungkan kepakaran universiti dengan keperluan industri dan komuniti.
Penyelaras Program HalSTEM yang juga Ketua Laboratori Polisi dan Pengurusan Halal (LPPH), IPPH UPM, Dr. Yazid Yaakob, berkata program itu mula dilaksanakan pada 2024 dengan matlamat meningkatkan minat generasi muda terhadap STEM serta melahirkan generasi yang mampu menerajui inovasi dalam industri halal.
“Program itu pada awalnya menyasarkan kumpulan pelajar yang lebih kecil sebelum diperluas kepada pelajar sekolah menengah dengan pelaksanaan awal di Terengganu serta maklum balas yang diterima amat menggalakkan,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan modul HalSTEM menunjukkan potensi untuk diperluas kepada lebih ramai pelajar, khususnya melalui aktiviti pembelajaran yang membantu meningkatkan pemahaman mereka tentang hubungan antara STEM dengan industri halal.
“Kerjasama dengan Nestlé Malaysia serta sokongan pihak kerajaan membolehkan program ini diperkukuh melalui sinergi antara universiti, industri dan agensi kerajaan untuk memperluas pelaksanaannya ke seluruh negara,” katanya.
Date of Input: 14/10/2026 | Updated: 14/10/2026 | hairul_nizam

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA