
Oleh: Zarith Sofea Ibrahim
SERDANG, 27 Ogos – Inovasi bio-repellent Mr MoleC yang dibangunkan Universiti Putra Malaysia (UPM) terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila kisah pengkomersialannya diketengahkan dalam siri penerbitan Better World Project oleh Association of University Technology Managers (AUTM), Amerika Syarikat (AS).
Mr MoleC dibangunkan oleh Prof. Madya Dr. Nur Kartinee Kassim, Fakulti Sains, UPM dan pengasas TerraDeca Sdn. Bhd., sebagai alternatif berasaskan tumbuhan bagi membantu pengurusan perosak tanaman secara lebih lestari.
Prof. Madya Dr. Nur Kartinee berkata, idea pembangunan Mr MoleC tercetus daripada kajiannya terhadap bahan semula jadi dan sebatian bioaktif yang kemudiannya mendorong beliau meneroka potensi bahan berasaskan tumbuhan dalam pengurusan perosak.
“Persoalan itu mendorong saya untuk mengkaji potensi bahan berasaskan tumbuhan dalam pengurusan perosak, bukan semestinya dengan membunuh perosak secara terus, tetapi melalui mekanisme seperti menghalau perosak dan mengganggu pemakanan,”katanya.
Mr MoleC dibangunkan pada 2019 dan melalui beberapa peringkat penyelidikan, pembangunan serta validasi sebelum dikomersialkan dan dilesenkan kepada TerraDeca Sdn. Bhd. pada 2025.
Beliau berkata, antara cabaran utama dalam membawa inovasi itu daripada makmal ke pasaran ialah meningkatkan skala pengeluaran tanpa menjejaskan kualiti dan keberkesanan produk.
“Penghasilan awal Mr MoleC hanya sekitar 20 mililiter di makmal, berbanding keperluan pengeluaran komersial yang boleh mencecah kira-kira 600 liter sehari.
“Disebabkan teknologi dan mesin yang sesuai tidak tersedia pada peringkat awal, kami akhirnya mereka bentuk dan membangunkan sendiri mesin pengeluaran Mr MoleC,” katanya.
Selain aspek teknikal, penerimaan petani turut menjadi cabaran kerana mereka perlu melihat bukti keberkesanan produk berasaskan tumbuhan dalam keadaan sebenar.
“Kami perlu turun ke ladang, menjalankan banyak trial plot, mengumpul data dan menunjukkan hasil sebenar kepada petani. Membangunkan inovasi di makmal hanyalah langkah pertama, cabaran sebenar ialah memastikan teknologi itu boleh diskalakan, diterima pengguna dan memberikan manfaat kepada petani,” katanya.

Penggunaan Mr MoleC di lapangan turut diperlihatkan menerusi UPM Sandbox Paddy Initiative 2026 di Sekinchan yang menggabungkan beberapa teknologi UPM dalam pendekatan pengurusan tanaman secara bersepadu.
Inisiatif itu merekodkan peningkatan hasil padi sebanyak 41 peratus, namun Prof. Madya Dr. Nur Kartinee menegaskan pencapaian tersebut merupakan hasil pendekatan pengurusan tanaman secara menyeluruh dan bukan disebabkan satu teknologi sahaja.
“Sandbox Sekinchan menggabungkan beberapa teknologi UPM yang saling melengkapi bagi menangani aspek tanah, pertumbuhan, perosak dan pengurusan tanaman.
“Pencapaian 41 peratus ini merupakan keputusan awal yang sangat positif, namun ia perlu terus divalidasi di lebih banyak lokasi dan musim untuk memastikan prestasinya konsisten,” katanya.
Selain itu, Mr MoleC turut menerima Anugerah Inovasi Negeri Selangor 2025 serta liputan menerusi Better World Project oleh AUTM membuka peluang untuk hasil penyelidikan UPM diperkenalkan kepada jaringan teknologi pemindahan dan pengkomersialan di peringkat antarabangsa.
Pengiktirafan tersebut bukan sekadar pencapaian, malah berpotensi membuka ruang kepada kerjasama, perkongsian teknologi dan pasaran baharu.
Menerusi pelesenan kepada TerraDeca, Prof. Madya Dr. Nur Kartinee berkata Mr MoleC kini berpotensi diperluas ke pasaran ASEAN melalui validasi di beberapa tanaman dan lokasi strategik, selain kerjasama dengan rakan industri serta agensi pertanian.
“Visi saya ialah Mr MoleC bukan sekadar menjadi produk Malaysia, tetapi menjadi satu teknologi pertanian yang boleh digunakan secara meluas di rantau ASEAN dan akhirnya di pasaran global.
“Kejayaan sesuatu inovasi bukan hanya diukur melalui anugerah atau jumlah jualan, tetapi melalui berapa ramai petani yang mendapat manfaat dan sejauh mana teknologi tersebut dapat membantu menjadikan pertanian lebih produktif, selamat dan lestari,” katanya.
Date of Input: 27/08/2026 | Updated: 27/08/2026 | zarithsofea

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA