Kelab Seni Tari Adimastuli UPM Jadi Duta Budaya Malaysia, Pikat Masyarakat Chengdu | Universiti Putra Malaysia 99 spel-int
» NEWS » Kelab Seni Tari Adimastuli UPM jadi duta budaya Malaysia, pikat masyarakat Chengdu

Kelab Seni Tari Adimastuli UPM jadi duta budaya Malaysia, pikat masyarakat Chengdu

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

CHENGDU, 24 November – Keunikan seni tari dan kepelbagaian budaya Malaysia berjaya mencuri perhatian masyarakat China apabila enam pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) daripada Kelab Seni Tari Adimastuli diberi peluang mempersembahkan warisan budaya negara sempena Malaysia and Brunei Food, Art & Cultural Festival 2026 di Chengdu, China.

 

UPM merupakan satu-satunya universiti yang menerima jemputan khas Tourism Malaysia untuk mengetengahkan persembahan seni kebudayaan Malaysia pada festival yang berlangsung dari 20 hingga 25 November 2026 di Guanghua Park, Wenjiang, Chengdu.

 

Penyertaan itu bukan sahaja menjadi platform untuk mengetengahkan bakat seni mahasiswa, malah memberi peluang kepada mereka menggalas peranan sebagai duta budaya dalam memperkenalkan identiti, seni dan warisan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.

 

Ketua Seksyen Pemerkasaan Seni Budaya dan Warisan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPM, Nik Mohamad Ridhwan Nik Nasrudin, berkata jemputan tersebut merupakan satu pengiktirafan terhadap keupayaan mahasiswa UPM dalam membawa seni dan budaya Malaysia ke pentas antarabangsa.

 

“Peluang ini membolehkan mahasiswa bukan sahaja memperkenalkan warisan negara, tetapi turut membina hubungan dengan masyarakat antarabangsa merentasi perbezaan bahasa dan budaya.

 

“Pada masa sama, pengalaman ini memberi pendedahan kepada mahasiswa tentang peranan seni dan budaya sebagai medium diplomasi yang mampu mendekatkan masyarakat serta mengeratkan hubungan antara negara,” katanya.

 

Sepanjang festival berlangsung, kumpulan Adimastuli UPM mengadakan kira-kira tiga persembahan sehari dengan mengetengahkan kepelbagaian seni tari tradisional Melayu, Cina, India dan etnik lain di Malaysia.

 

Menariknya, penglibatan mahasiswa UPM tidak terhad kepada persembahan di pentas apabila mereka turut mengendalikan sesi interaktif pengenalan dan pengajaran tarian etnik Malaysia kepada pengunjung.

 

Melalui aktiviti itu, masyarakat tempatan berpeluang mempelajari pergerakan asas tarian tradisional Malaysia secara langsung, sekali gus menjadikan seni tari sebagai medium interaksi dan pertukaran budaya antara Malaysia dengan China.

 

Kumpulan Adimastuli UPM turut diberi penghormatan mengadakan persembahan pada majlis perasmian festival yang dihadiri Pengarah Tourism Malaysia Guangzhou, Radzlan Shah Ramlan, serta tetamu kehormat dari Malaysia, Brunei Darussalam dan China.

 

Ketua kumpulan persembahan, Nurin Iman Kamarul Azla yang juga pelajar Tahun Empat Bacelor Sains Pembangunan Manusia dan Teknologi Maklumat dengan Kepujian, Fakulti Ekologi Manusia UPM, berkata peluang tersebut sebagai satu penghormatan dan tanggungjawab besar dalam membawa nama Malaysia ke luar negara.

 

“Menjayakan beberapa persembahan sehari memerlukan disiplin, komitmen dan kerjasama yang tinggi. Namun, sambutan positif daripada masyarakat di sini menjadi dorongan kepada kami untuk terus memberikan persembahan terbaik.

 

“Pengalaman mengajar pengunjung tarian etnik Malaysia juga amat bermakna kerana kami bukan sekadar membuat persembahan, tetapi berpeluang berkongsi pengetahuan dan memperkenalkan budaya negara dengan lebih dekat kepada masyarakat China,” katanya.

 

Bagi pelajar Tahun Tiga, Bacelor Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, UPM, Foo Yeu Qi Cindy, berkata pengalaman mempersembahkan seni budaya Malaysia di China membawa makna tersendiri, khususnya dalam menghayati kepelbagaian identiti masyarakat Malaysia.

 

“Saya amat berbangga kerana berpeluang membawa identiti Malaysia ke China. Bagi saya, seni dan budaya Malaysia ialah warisan bersama yang tidak terbatas kepada mana-mana kaum.

 

“Walaupun kita mempunyai latar belakang yang berbeza, seni mampu menyatukan kita. Itulah keistimewaan Malaysia yang ingin kami kongsikan dengan masyarakat di sini,” katanya.

 

Turut menyertai persembahan tersebut ialah Nur Elysa Dania Mat, pelajar Bacelor Kaunseling dengan Kepujian, Fakulti Pengajian Pendidikan; Muhammad Aliff Haiqal Hamzah, pelajar Master Sains dalam Fizik Gunaan dan Muhammad Danish Mohd Daud, pelajar Bacelor Sains Fizik dengan Pendidikan (Kepujian), kedua-duanya daripada Fakulti Sains; serta Muhammad Haziq Hakim Yazid, pelajar Bacelor Sains Komputer (Rangkaian Komputer) dengan Kepujian, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat.

 

Sementara itu, Delegasi UPM berada di Chengdu dari 18 hingga 26 November 2026 bagi menjayakan penyertaan tersebut.

 

Penglibatan pelajar UPM dalam festival antarabangsa itu membuktikan bahawa seni dan budaya bukan sekadar wadah ekspresi kreatif, malah berupaya menjadi medium diplomasi budaya dalam memperkenalkan Malaysia kepada masyarakat dunia.

Date of Input: 25/11/2026 | Updated: 25/11/2026 | eszereen

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BZLZMAj~