Oleh: Zarith Sofea Ibrahim dan Noor Eszereen Juferi
BINTULU, 3 Nov – Kesibukan bekerja dan tanggungjawab keluarga tidak menghalang dua staf Universiti Putra Malaysia (UPM) melanjutkan pengajian sehingga berjaya memperoleh ijazah sarjana bagi meningkatkan kepakaran serta memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada masyarakat.
Kedua-duanya, Ahmad Alfan Hidayat Ahmad Khalili dan Muhammad Amin Abdullah Azhar, diraikan pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-50 Sidang 1 di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), di sini.
Bagi Pegawai Pertanian, Pusat Pertanian Putra (PPP), UPM, Ahmad Alfan, pengalaman bekerja secara langsung dengan petani menyedarkannya tentang kepentingan meningkatkan pengetahuan, khususnya dalam aspek pengurusan kewangan, penyimpanan rekod dan penggunaan teknologi dalam perusahaan pertanian.
Kesedaran itu mendorongnya melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Sains Perniagaan Tani di UPMS bagi memperkukuh kemahiran serta memberikan bimbingan yang lebih berkesan kepada komuniti pertanian.
“Matlamat utama saya menyambung pengajian adalah untuk menambah ilmu supaya dapat membantu lebih ramai petani. Kalau saya sendiri tidak mempunyai ilmu yang mencukupi, bagaimana saya mahu membimbing mereka?” katanya.
Menurutnya, perjalanan menamatkan pengajian bukan mudah apabila terpaksa mengimbangi komitmen kerja, tanggungjawab keluarga dan penyelidikan, selain berdepan kesukaran mengumpul data ketika pandemik COVID-19.
Bagaimanapun, sokongan isteri, keluarga dan kefahaman penyelia banyak membantunya mengharungi cabaran sehingga berjaya menamatkan pengajian.
“Saya berharap ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan secara langsung dalam usaha memperkasa pengetahuan dan keupayaan usahawan tani,” katanya.
Sementara itu, staf Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), UPM, Muhammad Amin pula memilih untuk mendalami bidang perhutanan menerusi program Sarjana Sains (Pengurusan Hutan dan Sains Ekosistem) di UPMS kerana minat terhadap pemuliharaan hutan dan kelestarian alam sekitar.
Menurutnya, kepakaran pensyarah serta persekitaran penyelidikan yang kondusif menjadi antara faktor utama beliau memilih UPM untuk melanjutkan pengajian.
“Minat yang mendalam terhadap bidang perhutanan menjadi pendorong untuk saya terus mendalami bidang ini, khususnya dalam aspek pemuliharaan hutan dan kelestarian alam sekitar, di samping memperkukuh kepakaran melalui persekitaran penyelidikan yang kondusif,” katanya.
Muhammad Amin berkata, antara cabaran paling sukar dihadapi ialah apabila data penyelidikannya hilang akibat kerosakan komputer riba sehingga menyebabkan beliau hampir berputus asa.
Bagaimanapun, dorongan keluarga dan individu di sekelilingnya memberikan kekuatan untuk bangkit serta meneruskan penyelidikan sehingga berjaya menamatkan pengajian.
Katanya, pengajian peringkat sarjana turut menuntut pengurusan masa yang baik kerana perlu membahagikan komitmen kerja dengan penyelidikan yang melibatkan kerja lapangan, analisis makmal dan penulisan tesis.
Menurutnya, pengalaman sepanjang pengajian bukan sahaja meningkatkan pengetahuan dalam bidang perhutanan, malah mengasah kemahiran berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan berasaskan bukti.
“Saya berharap ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam kerjaya, khususnya dalam bidang pengurusan sumber alam dan kelestarian alam sekitar,” katanya.
Date of Input: 03/11/2026 | Updated: 03/11/2026 | hairul_nizam

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA