UPM Laksana Transformasi Akademik Berkualiti, Bereputasi Antarabangsa Dan Beraspirasi Nasional | Universiti Putra Malaysia
BXMaEAR~
» ARTICLE » UPM laksana transformasi akademik berkualiti, bereputasi antarabangsa dan beraspirasi nasional

UPM laksana transformasi akademik berkualiti, bereputasi antarabangsa dan beraspirasi nasional

Article Summary
Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Universiti Putra Malaysia (UPM) secara umumnya berperanan menyokong Naib Canselor dalam menggerakkan kepimpinan universiti ke arah mencapai matlamat strategik universiti yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran serta pengantarabangsaan.


Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Universiti Putra Malaysia (UPM) secara umumnya berperanan menyokong Naib Canselor dalam menggerakkan kepimpinan universiti ke arah mencapai matlamat strategik universiti yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran serta pengantarabangsaan.

Wartawan Tribun Putra, Nurul Ezzaty Mohd Azhari telah menemubual Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UPM, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail mengenai hala tuju dan matlamat beliau seperti berikut:

 

  1. Apakah yang menjadi visi Prof dalam mengemudi pentadbiran portfolio akademik dan antarabangsa di UPM?

Saya telah meletakkan beberapa hala tuju petunjuk prestasi utama (KPI) untuk saya gunakan sebagai panduan bagi menilai sejauh mana saya berjaya membawa transformasi kepada ekosistem akademik dan antarabangsa. Oleh itu, saya bahagikan wawasan saya kepada beberapa komponen akademik dan antarabangsa.

Bagi komponen akademik, saya mengharapkan UPM dapat menyediakan program akademik yang berkualiti, bereputasi antarabangsa dan beraspirasi nasional. Selain itu, saya juga mahu meligatkan ekosistem pengajaran dan pembelajaran berbantukan teknologi seiring dengan inisiatif UPM sebagai kampus pintar.

Sementara itu, bagi komponen antarabangsa, perancangan saya adalah untuk memperbanyak dan memperkukuh program akademik bersama institusi antarabangsa. Sehingga kini saya mempunyai beberapa entiti yang bekerjasama dalam hal ini iaitu Bahagian Kemasukan dan Bahagian Urus Tadbir Akademik termasuklah pra siswazah dan pasca siswazah, Pusat Pembangunan Akademik (CADe), dan Pusat Antarabangsa Putra (i-PUTRA).

 

  1. Apakah cabaran yang perlu dihadapi bagi memastikan program akademik pra siswazah dan pasca siswazah UPM sentiasa relevan dengan keperluan komuniti dan industri?

Cabaran yang dihadapi adalah bagi memastikan hubungan antara ahli akademia, industri dan komuniti dalam jawatankuasa yang membuat program kurikulum tidak terhenti di peringkat mesyuarat jawatankuasa tetapi akan diteruskan dalam penyampaian kurikulum dan penilaian kurikulum agar ianya lebih relevan dan terkini.

Hal ini demikian kerana, apabila kita mempunyai penilaian projek atau peperiksaan, kita mahu melibatkan semua pihak berkepentingan agar perkara yang kita laksanakan mencapai kualiti dan memenuhi kehendak masyarakat bahkan industri.

 

  1. Apakah yang boleh dilakukan dalam mencapai Pelan Strategik UPM 2021-2025, Matlamat 1 Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang dapat dicapai?

Dalam keghairahan untuk menjadi sebuah universiti mempunyai taraf piawaian antarabangsa, kita juga perlu mengambil kira keperluan serta tuntutan aspirasi nasional seperti budaya, agama dan nilai-nilai murni untuk kita pertahankan dalam perancangan dan juga penyampaian kurikulum.

Bermula dengan program akademik, saya cuba untuk mendapatkan akreditasi badan profesional sama ada di dalam mahupun luar negara kerana saya percaya akreditasi ini salah satu cara menunjukkan program UPM memenuhi kehendak pasaran agar pelajar kita sentiasa mendapat ilmu yang relevan dengan perkembangan semasa.

Program akademik kita juga perlu dikendalikan oleh bukan sahaja ahli akademik tetapi juga dibantu oleh rakan atau tokoh daripada pihak industri dan juga tokoh komuniti supaya perbincangan menjadi lebih inklusif dan menyeluruh selain graduan UPM bersedia dan diberi pendedahan dengan cabaran diluar kelak. Kita juga hendak membawa program kita di peringkat antarabangsa termasuklah penyelidikan, wacana dan sebagainya.

 

  1. Pada pandangan Prof, bagaimana pembelajaran hibrid dan inisiatif Putra@Smart Classroom membantu dalam perkembangan pengajaran dan pembelajaran di UPM?

Satu lagi inisiatif yang saya perkenalkan untuk menyokong naratif Naib Canselor dalam usaha melagang kampus pintar adalah kewujudan bilik kuliah hibrid di setiap fakulti. Kelas hibrid ini akan memberi pelajar dan pensyarah menimba ilmu secara fizikal dan secara maya. Di samping itu, perkara ini memberi banyak ruang kepada UPM untuk mendapatkan lebih ramai pelajar di dalam dan luar negara untuk bersama-sama dalam program akademik.

 

  1. Bolehkah Prof kongsikan laluan kerjaya yang ditawarkan kepada ahli akademik di UPM?

Kita perlu akui ahli akademia mempunyai bakat yang pelbagai dan kekuatan yang tersendiri. Bagaimanapun, setiap ahli akademik harus melaksanakan tanggungjawab dari segi penyelidikan, pembangunan pelajar, jaringan industri dan masyarakat serta kepimpinan. Sehubungan itu, universiti akan dibarisi oleh tokoh-tokoh akademik yang seimbang daripada segi aktiviti jaringan, penyelidikan, pengajaran dan memimpin institusi.

Kita akan memperkasakan pelaksanaan kenaikan pangkat pegawai akademik berteraskan empat laluan kerjaya bagi meraikan kepelbagaian dan kewibawaan bakat yang ada dalam UPM untuk manfaat universiti secara inklusif dan strategik.

Bagaimanapun ahli akademik bukan hanya memilih satu laluan namun kecenderungannya itu diberi keutamaan dan dinilai sejauh mana mereka benar sebagai seorang tokoh penyelidikan, pengajar, pemimpin serta pengembangan industri dan mereka akan dinaikkan secara berperingkat daripada pensyarah ke pensyarah kanan kemudian profesor madya dan akhirnya ke profesor.

 

  1. Berkenaan laluan kerjaya pensyarah, adakah UPM akan menambah baik atau terdapat penambahan laluan tertentu kepada pensyarah di UPM?

Kita mahu menghargai kepelbagaian bakat yang ada pada pensyarah dan kriteria perlu dilihat dari semasa ke semasa supaya sesuai dan relevan dengan perkembangan terkini dalam bahagian masing-masing. Mungkin sebelum ini bilangan jurnal artikel sahaja dilihat untuk kenaikan pangkat tetapi kini keupayaan menghasilkan inovasi dalam pembelajaran juga boleh dipertimbangkan dalam kriteria kenaikan pangkat.

 

Oleh itu, kita perlu melihat kriteria penambahbaikan laluan kerjaya selari dengan kreativiti pensyarah. Sehubungan itu, kita akan sentiasa menyemak kriteria kenaikan pangkat dan laluan empat kerjaya ini supaya relevan dan terkini.

 

  1. Melihat kualiti pensyarah muda semasa, adakah UPM akan menambah baik penetapan kriteria pelantikan pensyarah di UPM?

Dalam memilih pensyarah muda kita masih mempunyai kriteria yang menuntut supaya seseorang pensyarah itu berkeupayaan untuk melaksanakan empat peranan iaitu mengajar serta menyelia, membangunkan pelajar membuat penyelidikan dan penerbitan, membuat jaringan industri dan masyarakat dan memimpin dan mentadbir institusi.

 

Selain mengasah bakat mereka dalam empat peranan itu, UPM akan sentiasa membuat penambahbaikan dalam lantikan pensyarah agar pensyarah UPM berkeupayaan serta mampu menyerlahkan potensi mereka. Apabila sesuatu bidang itu semakin berkembang dan berubah jadi kita juga akan bergerak sama dan tidak akan guna kriteria lama.

 

  1. Sejajar dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyasarkan seramai 250 ribu pelajar antarabangsa menjelang tahun 2025 di IPT, apakah inisiatif UPM bagi menarik pelajar antarabangsa ke UPM?

Sebelum ini, kita tiada jawatankuasa pengantarabangsaan di UPM yang membincangkan secara berkala dan berfokus elemen antarabangsa. Jadi apabila saya dilantik menjadi TNCAA saya mula membentuk jawatankuasa ini yang melibatkan semua pegawai kanan universiti bagi membincangkan hal universiti secara serius tentang agenda pengantarabangsaan dan berkolaborasi dengan institusi antarabangsa termasuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa untuk memilih UPM sebagai destinasi pendidikan mereka.

 

Apabila kita membuat kelas secara hibrid kita boleh ada pelajar antarabangsa dan tempatan yang belajar pada waktu yang sama. Selain program mobiliti, kita juga akan sentiasa memperkasakan i-PUTRA daripada segi sokongan pelajar antarabangsa, VISA, peraturan yang dikenakan kepada agensi luar dan sebagainya agar pelajar antarabangsa kita tidak terjejas pembelajarannya di UPM. Kita cuba untuk mengurangkan birokrasi dan memudahkan pelajar antarabangsa agar urusan mereka lebih mudah dan efisien.

 

  1. Akhir sekali, apakah nasihat dan harapan Prof kepada pelajar dan ahli akademik dalam memastikan UPM terus cemerlang sebagai institusi pendidikan dalam memberi sumbangan pada kemajuan negara.

Untuk berilmu dan berbakti kepada UPM kita memerlukan pasukan yang kuat, serta sentiasa bekerjasama merentas entiti supaya masing-masing dapat melengkapi keperluan bersama dan saling hormat-menghormati. Sekiranya ada masalah atau isu yang timbul seharusnya kita bermusyawarah serta berbincang secara berhikmah dan mencari solusi agar kita bersama sederap melangkah menuju Al-Falah supaya usaha memacu kejayaan UPM dapat direalisasikan.

Date of Input: 15/11/2022 | Updated: 15/11/2022 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---