Darah O Bukan Semestinya Universal Donor, Keserasian Darah Perlu Diambil Kira | Universiti Putra Malaysia 99 spel-int
» ARTICLE » Darah O Bukan Semestinya Universal Donor, Keserasian Darah Perlu Diambil Kira

Darah O Bukan Semestinya Universal Donor, Keserasian Darah Perlu Diambil Kira

Article Summary
Kumpulan darah O sering dianggap istimewa kerana dikatakan boleh menderma darah kepada semua kumpulan darah lain. Namun, tanggapan bahawa semua individu berdarah O boleh menjadi penderma universal sebenarnya kurang tepat kerana keserasian darah turut bergantung pada faktor Rhesus (Rh), selain sistem kumpulan darah ABO.


 

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim

 

SERDANG, 11 November – Kumpulan darah O sering dianggap istimewa kerana dikatakan boleh menderma darah kepada semua kumpulan darah lain. Namun, tanggapan bahawa semua individu berdarah O boleh menjadi penderma universal sebenarnya kurang tepat kerana keserasian darah turut bergantung pada faktor Rhesus (Rh), selain sistem kumpulan darah ABO.

 

Menurut Pakar Perubatan Dalaman (Haematologi) dan Pakar Perunding Hematologi, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Bahariah Khalid berkata, kumpulan darah O mempunyai ciri tersendiri kerana sel darah merahnya tidak mempunyai antigen A dan B.

 

“Dalam sistem ABO, darah O boleh diberikan kepada kumpulan darah A, B, AB dan O. Walau bagaimanapun, faktor Rh dan keserasian darah yang lain turut perlu diperiksa bagi memastikan keselamatan penerima,” katanya.

 

Beliau yang juga Pelatih Patient Blood Management Kebangsaan berkata, faktor Rh merujuk kepada kehadiran atau ketiadaan sejenis antigen yang dikenali sebagai antigen D pada permukaan sel darah merah. Individu yang mempunyai antigen ini dikategorikan sebagai Rh positif (+), manakala mereka yang tidak mempunyainya dikategorikan sebagai Rh negatif (-).

 

“Sebagai contoh individu yang mempunyai darah O Rh negatif (O-) tidak boleh menerima darah O Rh positif (O+) kerana kehadiran antigen Rh(D) pada sel darah merah penderma boleh mencetuskan tindak balas sistem imun penerima, khususnya jika penerima pernah terdedah kepada darah Rh positif sebelum ini.

 

“Sebaliknya, individu berdarah O Rh positif (O+) boleh menerima darah O Rh negatif (O-) kerana darah penderma tersebut tidak mempunyai antigen Rh(D).

 

“Jika darah yang tidak serasi diberikan, antibodi dalam badan penerima boleh menyerang sel darah merah yang didermakan. Keadaan ini boleh menyebabkan sel darah merah pecah atau menggumpal dan berpotensi mengakibatkan komplikasi serius, malah boleh mengancam nyawa,” katanya.

 

Mengulas lanjut mengenai istilah universal donor atau penderma universal, Dr. Bahariah berkata istilah tersebut merujuk kepada penderma yang darahnya boleh diberikan kepada penerima daripada semua kumpulan ABO kerana sel darah merah penderma tidak mempunyai antigen A dan B yang boleh diserang oleh antibodi penerima.

 

“Dalam konteks pendermaan sel darah merah, kumpulan darah O negatif (O-) dikenali sebagai penderma universal kerana tidak mempunyai antigen A, B dan Rh(D). Darah O negatif mempunyai kelebihan untuk digunakan dalam situasi tertentu, khususnya apabila kumpulan darah pesakit belum dikenal pasti dan transfusi perlu diberikan segera.

 

“Dalam konteks sel darah merah, kumpulan yang dikenali sebagai universal donor ialah O negatif, bukannya semua individu yang mempunyai kumpulan darah O,” katanya.

 

Bagaimanapun, keserasian darah tetap perlu dinilai oleh petugas perubatan sebelum transfusi dilakukan.

 

Beliau turut menjelaskan bahawa kumpulan darah seseorang diwarisi daripada ibu bapa melalui gen yang menentukan jenis antigen pada permukaan sel darah merah.

 

“Individu berkumpulan darah A mempunyai antigen A dan antibodi anti-B, manakala individu berkumpulan darah B mempunyai antigen B dan antibodi anti-A,” katanya.

 

Bagi kumpulan darah AB pula, kedua-dua antigen A dan B hadir pada permukaan sel darah merah, tetapi tidak mempunyai antibodi anti-A dan anti-B dalam plasma. Sementara itu, individu berkumpulan darah O tidak mempunyai antigen A dan B, tetapi mempunyai kedua-dua antibodi anti-A dan anti-B.

 

“Perbezaan antigen dan antibodi ini penting kerana kedua-duanya perlu diambil kira bagi memastikan darah penderma serasi dengan penerima. Selain sistem ABO, faktor Rh yang turut diwarisi daripada ibu bapa juga memainkan peranan dalam menentukan keserasian darah semasa transfusi,” katanya.

 

Mengulas mengenai bekalan darah di Malaysia, Dr. Bahariah berkata kumpulan darah O sememangnya merupakan kumpulan yang paling banyak dalam kalangan penderma darah di negara ini.

 

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat 14 Oktober 2025, sebanyak 42.1 peratus daripada pendermaan darah yang direkodkan ialah kumpulan O, diikuti kumpulan B (26.7 peratus), A (25.0 peratus) dan AB (6.2 peratus).

 

Namun, jumlah penderma yang tinggi tidak semestinya menjamin bekalan darah sentiasa mencukupi kerana keperluan darah di hospital berubah mengikut permintaan pesakit.

 

“Kumpulan O paling banyak tidak bermakna stoknya sentiasa mencukupi. Ini kerana bekalan dan permintaan darah tidak sentiasa seimbang. Keperluan transfusi yang tinggi serta tempoh penyimpanan sel darah merah yang terhad, iaitu sekitar 42 hari, menyebabkan bekalan perlu diperbaharui secara berterusan,” katanya.

 

Beliau berkata tanggapan bahawa hanya kumpulan darah tertentu penting untuk didermakan juga merupakan antara salah faham yang perlu diperbetulkan dalam kalangan masyarakat.

 

Hakikatnya, setiap kumpulan darah mempunyai kepentingan tersendiri dan diperlukan untuk memenuhi keperluan transfusi pesakit.

 

Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa masih terdapat beberapa faktor yang menyebabkan masyarakat kurang tampil menderma darah walaupun menyedari kepentingannya.

 

Antaranya termasuklah ketakutan terhadap proses pendermaan, salah faham berkaitan keselamatan menderma darah, kekangan masa, kesukaran mendapatkan akses kepada kempen pendermaan darah serta kurangnya kesedaran untuk menjadikan aktiviti tersebut sebagai amalan berkala.

 

Menurut beliau, cabaran meningkatkan jumlah penderma bukan semata-mata disebabkan masyarakat tidak mengetahui kepentingan pendermaan darah, sebaliknya turut melibatkan faktor sikap dan komitmen individu.

 

“Pengetahuan mengenai kepentingan pendermaan darah sahaja tidak mencukupi jika tidak disertai kesediaan untuk menderma secara berkala. Masyarakat perlu menjadikan pendermaan darah sebagai satu amalan, bukan hanya tampil apabila berlaku kecemasan atau apabila bekalan darah berada pada tahap kritikal,” jelasnya.

 

Beliau turut menegaskan bahawa mengetahui kumpulan darah sendiri merupakan salah satu langkah penting dalam meningkatkan kesedaran kesihatan.

 

Masyarakat digalakkan untuk tampil menderma darah secara berkala mengikut kelayakan masing-masing kerana setiap pendermaan berpotensi menyelamatkan nyawa.

Date of Input: 11/11/2026 | Updated: 11/11/2026 | zarithsofea

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BZLPHAX~