Pencemaran Baharu Dan Mikroplastik Ancaman Global, Perlu Ditangani Dari Punca | Universiti Putra Malaysia 99 spel-int
» ARTICLE » Pencemaran baharu dan mikroplastik ancaman global, perlu ditangani dari punca

Pencemaran baharu dan mikroplastik ancaman global, perlu ditangani dari punca

Article Summary
Isu pencemaran alam sekitar kini semakin kompleks apabila dunia berdepan ancaman bahan pencemar baharu atau emerging pollutants, termasuk mikroplastik dan nanoplastik yang sukar dikesan serta ditangani menggunakan teknologi rawatan sedia ada.


 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 11 Sept – Isu pencemaran alam sekitar kini semakin kompleks apabila dunia berdepan ancaman bahan pencemar baharu atau emerging pollutants, termasuk mikroplastik dan nanoplastik yang sukar dikesan serta ditangani menggunakan teknologi rawatan sedia ada.

 

Pengarah Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Ahmad Zaharin Aris berkata, teknologi masa kini mampu mengurangkan atau menyingkirkan bahan pencemar konvensional seperti logam berat daripada sumber air dengan lebih berkesan dan pada kos yang lebih rendah.

 

“Cabaran utama kini adalah kehadiran ribuan bahan kimia baharu yang semakin banyak dilepaskan ke alam sekitar hasil perkembangan industri dan penggunaan bahan berasaskan kimia.

 

“Kalau dahulu kita banyak bercakap mengenai pencemar biasa seperti logam berat, teknologi sekarang sudah mampu untuk mengurangkan atau menyingkirkan bahan tersebut daripada air,” katanya.

 

Tambah beliau, isu masa kini jauh lebih besar kerana masyarakat berdepan dengan bahan pencemar baharu yang tidak pernah diberi perhatian sebelum ini seperti mikroplastik dan pelbagai bahan kimia yang jumlahnya sangat banyak.

 

“Teknologi sedia ada pula tidak semestinya mampu menyingkirkan semua jenis bahan pencemar kerana setiap teknologi dibangunkan untuk menangani masalah tertentu,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama bertajuk The Molecule Remembers: Environmental Forensics from Source Attribution to the Molecular Footprint of Exposure sempena International Conference on Environmental Forensics 2026 (iENFORCE2026) baru-baru ini.

 

Profesor Dr. Ahmad Zaharin yang berkepakaran dalam bidang hidrokimia dan geokimia berkata, kebimbangan terhadap pencemaran baharu semakin meningkat kerana bahan kimia tertentu berpotensi memberi kesan secara tidak langsung terhadap kesihatan manusia.

 

Menurut beliau, penyelidikan di peringkat global turut meneliti hubungan antara pendedahan terhadap bahan kimia tertentu dengan pelbagai isu kesihatan, termasuk gangguan hormon dan perkembangan manusia.

 

“Ini antara kebimbangan utama dunia sekarang kerana terdapat bahan kimia yang boleh bertindak sebagai pencetus atau pengganggu sistem hormon dalam badan.

 

“Sebab itu, kita perlu memahami dengan lebih mendalam jenis bahan pencemar yang terdapat dalam alam sekitar dan bagaimana ia boleh memberi pendedahan kepada manusia,” katanya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, makmal penyelidikannya di UPM telah menjalankan kajian berkaitan bahan pencemar baharu sejak kira-kira 12 tahun lalu.

 

Katanya, penyelidikan tersebut dilaksanakan secara berperingkat melalui pembangunan kaedah pengesanan, pengumpulan data serta kerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan.

 

“Sepanjang tempoh itu, kita telah menjalankan kajian di hampir keseluruhan Malaysia dan mengenal pasti kawasan tumpuan atau hotspot bagi mendapatkan data berkaitan status pencemaran.

 

“Pada masa yang sama kita membantu kementerian dan agensi berkaitan dalam usaha pemantauan supaya mereka sentiasa mempunyai data terkini untuk diterjemahkan kepada dasar dan tindakan,” katanya.

 

Beliau berkata, hasil penyelidikan UPM turut dibawa ke peringkat kementerian bagi meningkatkan kesedaran terhadap isu bahan pencemar baharu dan kepentingan memasukkannya dalam aspek kawal selia.

 

“Cabaran paling besar kepada saintis sebenarnya adalah untuk menerjemahkan hasil kajian kepada masyarakat umum dan pembuat dasar. Bahasa sains dan perkara teknikal kadangkala sukar difahami oleh orang awam.

 

Tanggungjawab kita adalah untuk memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada dasar yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

 

Selain itu, beberapa hasil kajian di UPM telah dikongsikan dengan kementerian berkaitan bagi memastikan isu bahan pencemar baharu diberi perhatian dalam pembangunan dasar dan perundangan, termasuk aspek pemantauan kualiti air minuman.

 

Mikroplastik bergerak dalam rantaian makanan

 

Profesor Dr. Ahmad Zaharin berkata, kebimbangan terhadap mikroplastik kini turut beralih kepada nanoplastik yang mempunyai saiz lebih kecil dan sukar dilihat dengan mata kasar.

 

Katanya, saiz zarah yang sangat kecil membolehkan bahan tersebut bergerak dengan lebih mudah dalam persekitaran air dan memasuki rantaian makanan.

 

“Apabila kita bercakap mengenai mikroplastik, sekarang kebimbangan kita sudah mula beralih kepada nanoplastik kerana saiznya lebih kecil dan lebih mudah bergerak.

 

“Lebih membimbangkan adalah apabila ia memasuki rantaian makanan. Dalam kajian kami, mikroplastik turut ditemui dalam organisma kecil seperti kutu air yang menjadi makanan kepada ikan.

 

“Apabila ikan memakan organisma tersebut, bahan pencemar itu berpotensi untuk terkumpul dalam rantaian makanan dan akhirnya manusia pula memakan ikan,” katanya.

 

Beliau berkata, proses tersebut menunjukkan bagaimana pencemaran yang bermula dalam alam sekitar boleh berpindah daripada satu organisma kepada organisma lain sebelum berpotensi sampai kepada manusia.

 

Beliau berkata, penyelesaian terhadap isu pencemaran tidak seharusnya hanya bergantung kepada teknologi rawatan semata-mata.

 

“Sebagai saintis kita tidak boleh membuat dakwaan berlebihan bahawa sesuatu teknologi mampu menyelesaikan semua masalah.

 

“Mungkin satu teknologi mampu menyingkirkan pencemar A, tetapi tidak semestinya mampu menyingkirkan pencemar B. Tiada satu teknologi yang sempurna untuk semua jenis pencemaran.

 

“Sebab itu, pendekatan paling penting adalah menangani masalah dari punca,” katanya.

 

Kurangkan kebergantungan kepada plastik

Profesor Dr. Ahmad Zaharin berkata, masyarakat memainkan peranan penting dalam mengurangkan pencemaran kerana permintaan pengguna akan mempengaruhi pengeluaran sesuatu produk.

 

“Puncanya adalah kita sendiri sebagai masyarakat. Selagi ada permintaan, selagi itu pengeluaran akan berlaku.

 

“Jika penggunaan plastik terus meningkat, industri akan terus menghasilkan plastik dan akhirnya sebahagian daripadanya akan menjadi sampah sebelum terurai menjadi mikroplastik dalam tempoh yang lama,” katanya.

 

Beliau berkata, masyarakat perlu membuat pilihan yang lebih bertanggungjawab dan mengurangkan penggunaan produk yang tidak diperlukan.

 

Mengambil contoh penggunaan air minuman berbotol, beliau berkata, kemudahan mendapatkan produk tersebut menyebabkan masyarakat melihatnya sebagai pilihan paling mudah, sekali gus meningkatkan permintaan dan pengeluaran botol plastik.

 

“Kalau ada pilihan lain dan kita tidak benar-benar memerlukannya, mungkin kita boleh mengurangkan penggunaannya.

 

“Penyelesaian paling asas adalah mengurangkan kebergantungan kepada bahan yang boleh menyumbang kepada masalah pencemaran,” katanya.

 

Beliau  berkata pembangunan bahan alternatif seperti plastik biodegradasi sebagai antara usaha yang boleh dipertimbangkan, namun faktor harga dan kemampuan pengguna perlu diberikan perhatian.

 

Menurutnya, masyarakat perlu mempunyai pilihan yang lebih mesra alam pada harga yang mampu diakses bagi menggalakkan perubahan tingkah laku pengguna.

 

 

Penguatkuasaan perlu seiring kesedaran masyarakat

Dalam pada itu, beliau berkata, penguatkuasaan dan kesedaran sivik perlu bergerak seiring bagi memastikan usaha menangani pencemaran dapat dilaksanakan dengan berkesan.

 

“Penguatkuasaan memang penting, tetapi penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi jika masyarakat tidak memahami kepentingan menjaga alam sekitar. Jika kesedaran masyarakat tinggi dan permintaan terhadap penggunaan plastik berkurangan, industri juga perlu menyesuaikan pengeluaran mereka,” katanya.

 

Beliau berkata, banyak negara maju melaksanakan penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap penggunaan plastik sambil meningkatkan kesedaran awam mengenai kesan pencemaran terhadap alam sekitar dan kehidupan manusia.

 

Menurut beliau, isu alam sekitar juga tidak boleh dilihat secara berasingan kerana ia mempunyai hubungan langsung dengan aspek sosial dan ekonomi.

 

“Apabila air tercemar kita memerlukan teknologi yang lebih tinggi untuk merawatnya dan kerajaan perlu melaburkan lebih banyak dana. Jika pencemaran memberi kesan kepada kesihatan manusia pula,kos rawatan kesihatan juga akan meningkat.

 

“Sebab itu alam sekitar perlu dilihat daripada pelbagai sudut kerana ia berkait secara langsung dengan masyarakat dan ekonomi,” katanya.

 

Beliau turut mengingatkan bahawa pencemaran tidak mengenal sempadan dan boleh bergerak dari satu negara ke negara lain melalui udara dan air. Pendekatan terbaik adalah mengurangkan risiko pendedahan terhadap pencemaran melalui perubahan gaya hidup dan penggunaan yang lebih berhemah.

 

“Pada asasnya, kita perlu kembali kepada perkara asas iaitu menjaga alam sekitar dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan yang tidak diperlukan. Kita mungkin tidak dapat menghapuskan semua bahan pencemar kerana pencemaran berada dalam pelbagai bentuk dan boleh bergerak tanpa sempadan.

 

“Tetapi jika kita mempunyai pilihan untuk mengurangkan risiko, kita perlu mengambil pilihan tersebut. Jika tidak perlu menggunakan bekas plastik maka jangan gunakannya,” katanya.

 

Date of Input: 14/10/2026 | Updated: 14/10/2026 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BZKOUA0~