Pelan Pemullihan Negara: Kekal Fasa 1 Atau Bagaimana? | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Pelan Pemullihan Negara: Kekal Fasa 1 atau bagaimana?

Pelan Pemullihan Negara: Kekal Fasa 1 atau bagaimana?

Article Summary
Teka-teki kedudukan negara selepas tempoh dua minggu kedua dalam fasa PKP menyeluruh ini kekal dalam persoalan kita semua. Dari segi angka dan data, jelas kita bakal berdepan untuk pusingan seterusnya untuk kekal berada di rumah kecuali untuk sektor-sektor yang dibenarkan di dalam Fasa 1 ini. Justeru, adakah usaha kita selama tempoh sebulan ini sia-sia? Atau keperitan sebahagian mereka yang berkorban tidak dapat meneruskan kesinambungan aktiviti tertentu sepanjang tempoh ini merupakan kegagalan?


**This article was published in Bahasa Melayu and has no translation in English

Oleh Prof. Madya  Dr.  Malina Osman

Teka-teki kedudukan negara selepas tempoh dua minggu kedua dalam fasa PKP menyeluruh ini kekal dalam persoalan kita semua. Dari segi angka dan data, jelas kita bakal berdepan untuk pusingan seterusnya untuk kekal berada di rumah kecuali untuk sektor-sektor yang dibenarkan di dalam Fasa 1 ini. Justeru, adakah usaha kita selama tempoh sebulan ini sia-sia? Atau keperitan sebahagian mereka yang berkorban tidak dapat meneruskan kesinambungan aktiviti tertentu sepanjang tempoh ini merupakan kegagalan?

Data terkini jangkitan COVID-19 perlu dilihat dalam konteks menyeluruh. Ia bukan sahaja pada pola kes baru yang dicatatkan namun juga pada beban sistem perkhidmatan kesihatan terutama angka yang masih dirawat di hospital dan pusat kuarantin, angka yang masih kritikal serta jumlah kematian harian yang dicatatkan. Dalam masa yang sama, angka yang menerima vaksin serta kadar peningkatan penerimaan turut menjadi indikator.

Dalam tempoh seminggu lalu, purata angka kes baru yang direkodkan kekal pada julat 5000 ke 6000; meskipun kes aktif menunjukkan pola penurunan namun corak yang ditunjukkan tidak begitu ketara dengan angka terkini sekitar 62 000. Demikian bilangan yang kritikal dalam ICU serta pesakit yang menerima bantuan mesin pernafasan. dalam masa yang sama, kes kematian kekal tinggi iaitu pada angka purata 77 sehari.

Melihat pada situasi tersebut,harapan kita untuk melihat negara berpindah ke Fasa 2 pada minggu hadapan adalah tipis sekali. Jangkaan kadar pemvaksinan berdasarkan angka sekarang pula bakal mencatatkan 10% hanya dicapai paling awal pada 10 Julai nanti. Namun, untuk keluar dari situasi yang mana untuk mengelakkan kita berterusan mencatitkan jumlah kes serupa, disyorkan pendekatan lebih dinamik dan realistik untuk  segera dilaksanakan.

Fokus seharusnya tertumpu kepada punca jangkitan yang menyumbang kepada kes-kes baru yang saban hari dicatitkan. Kluster tempat kerja pada masa ini merupakan sebab mengapa angka kes baru sedemikian yang mana ini seterusnya menyumbang kepada peningkatan kes sporadik dalam keluarga  dan komuniti masing-masing.

Mereka yang berada dalam sektor industri  yang  menyebabkan jangkitan dan kluster baru perlu diberikan kefahaman dan kesedaran bahawa atas kegagalan mereka menjaga SOP menyebabkan seluruh negara termasuk mereka yang berada dalam industri ‘essential’ terkesan. Oleh itu, perubahan pendekatan yang paling adil ialah tidak lagi menggunakan peraturan “blanket rule” untuk seluruh negara. Kerajaan wajar membenarkan sektor di zon hijau kembali berfungsi . Ini dilakukan dengan pemantauan SOP yang ketat  di samping menjadualkan pemvaksinan mereka dalam masa terdekat.

Untuk sektor di zon merah, semua industri perlu ditutup serta merta dan hanya yang dibenarkan beroperasi selepas mempunyai sekurang-kurangnya 50% dari pekerja yang sudah divaksin. Sebarang kejadian kes atau kluster baru perlu diikuti dengan PKPD serta-merta, diadakan saringan bersasar serta mereka yang negatif perlu divaksin serta-merta. Dalam masa yang sama, pemvaksinan perlu dipertingkatkan untuk pemegang taruh ekonomi memandangkan peranan mereka kritikal dalam memastikan pembangunan ekonomi negara dapat ditangani dengan saksama.

Sekiranya sektor di zon merah gagal menurut syor untuk divaksin namun masih tetap meneruskan operasi, dicadangkan mereka kekal beroperasi dalam suasana PKPD. Maksudnya, pergerakan mereka terhad dalam kawasan kilang, dibekalkan makanan serta boleh beroperasi seperti biasa tanpa had.

Andai pengekalan status quo terhadap situasi berlaku pada masa ini sedemikian, maka kita semua perlu bersedia untuk menghadapi pusingan PKP yang lebih panjang iaitu sekurang-kurangnya sehingga pertengahan Julai nanti.

 

Prof. Madya  Dr.  Malina Osman
Pakar Perubatan Kesihatan Awam
Universiti Putra Malaysia

Date of Input: 12/08/2021 | Updated: 12/08/2021 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXMWLAN~