Kaulah Guru Pertama Dalam Hidupku, Terima Kasih Tak Terhingga | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Kaulah guru pertama dalam hidupku, Terima Kasih tak terhingga

Kaulah guru pertama dalam hidupku, Terima Kasih tak terhingga

Article Summary
Walaupun ramai antara kita yang sudah lupa jasa guru tadika, tetapi ingatlah hadirnya mereka dalam hidup banyak membantu kita untuk meneruskan kehidupan. Mereka bukan hanya mengajar akademik tetapi mengajar pelbagai kemahiran.


Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

Walaupun ramai antara kita yang sudah lupa jasa guru tadika, tetapi ingatlah hadirnya mereka dalam hidup banyak membantu kita untuk meneruskan kehidupan. Mereka bukan hanya mengajar akademik tetapi mengajar pelbagai kemahiran.

Namun kerana kanak-kanak adalah insan yang sangat jujur, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Keluarga, Remaja dan Kanak-Kanak (FACE), Universiti Putra Malaysia (UPM), Narimah Badau terpikat untuk meneruskan impiannya ini dan bercita-cita menjadi seorang guru bagi mendidik kanak-kanak dalam bidang akademik dan juga membantu mereka mendapatkan pelbagai kemahiran sosial, kemahiran sensori-motor dan banyak lagi.

Guru yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini bercita-cita menjadi seorang doktor, namun tidak dapat meneruskan cita-citanya kerana keluarga tidak mampu menanggung perbelanjaan pengajian beliau, atas sebab itu beliau meneruskan kerjayanya sebagai guru tadika dan berharap ada anak murid yang berjaya menjadi seorang doktor.

“Walaupun ada juga orang yang mempersoalkan mengapa saya ada ijazah dan master cuma jadi guru tadika? Saya ingin semua orang tahu pada usia satu sehingga enam tahun, peranan guru sangat penting kepada anak-anak kecil ini untuk mengenali dunia.

“Guru tadika berperanan penting dalam memberikan pendidikan awal dan tiada sebab berasa malu dengan ijazah saya meskipun tumpuan masyarakat ketika ini masih lagi terarah kepada guru sekolah.

“Realitinya tugas kami mempunyai cabaran yang tersendiri sama seperti guru-guru lain. Seawal usia empat tahun kami yang membimbing mereka yang masih belum pandai mengawal emosi dan tingkah laku juga dalam bidang pembelajaran iaitu menulis dan membaca, meskipun ada yang tidak pandai memegang pensel,” katanya.

Beliau berkata sebagai guru tadika mereka adalah insan pertama yang melihat perkembangan kanak-kanak. Ianya adalah sebuah perasaan yang sangat gembira walaupun kerjaya ini sangat penat kerana perlu melayan karenah emosi kanak-kanak yang tidak dapat dijangka setiap hari dengan kesabaran yang cukup tinggi.

“Kanak-kanak adalah insan yang sangat menenteramkan jiwa. Andai waktu itu nak marah, hilang begitu sahaja perasaan ini kerana keikhlasan hati mereka yang melayan kita sebagai guru mereka.

 “Lebih-lebih lagi apabila kita sebagai guru yang melihat sendiri perkembangan awal kanak-kanak tersebut. Saya berasa sangat gembira atas pencapaian setiap kanak-kanak walaupun ianya berbeza mengikut tahap penguasaan masing-masing namun jangan dibanding-bandingkan.

Sebagai guru tadika yang telah berkhidmat selama 25 tahun, pada awal perkhidmatannya tahun 1999 beliau tidak mampu bertahan dan telah memberi surat perletakkan jawatan kerana tidak mampu menguruskan kanak-kanak berumur enam tahun dan ke bawah. Ini kerana tidak mudah tugas seorang guru tadika yang memerlukan kesabaran tinggi. Tetapi beliau mengubah keputusan untuk terus mendidik kanak-kanak sehingga sekarang. - UPM

Date of Input: 08/06/2023 | Updated: 08/06/2023 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXMWMAp~