Badan Beruniform Pupuk Mahasiswa Lebih Berdisiplin | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Badan Beruniform pupuk mahasiswa lebih berdisiplin

Badan Beruniform pupuk mahasiswa lebih berdisiplin

Article Summary
Berpenampilan kemas dengan uniform yang tersendiri pada setiap hari Rabu memberikan kelainan unik bagi penuntut di universiti yang menyertai badan beruniform.


Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

Foto: Muhammad Nur Zairi Mohd Nazar

 -----

Berpenampilan kemas dengan uniform yang tersendiri pada setiap hari Rabu memberikan kelainan unik bagi penuntut di universiti yang menyertai badan beruniform.

 

Antara badan beruniform yang ditawarkan di UPM ialah Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Kor SUKSIS), Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) dan Persekutuan Pengakap Malaysia.

 

Menurut pelajar tahun pertama, Bacelor Sains Haiwan Dengan Kepujian, Al Fariq Haiqal Zakaria, 22, berkata beliau memilih untuk menyertai SUKSIS kerana minatnya untuk memakai uniform polis selain gemar menyertai perbarisan kawad kaki.

 

Di sebalik pakaian seragam yang kemas itu, beliau turut ingin mendisiplinkan diri terutamanya dalam aspek pengurusan masa.

 Mungkin imej 6 orang dan orang senyum

Senada dengannya, pelajar tahun pertama, Bacelor Sains Pengurusan Perladangan, Meor Muhammad Ismail Meor Rodzali ,21, berkata pengalaman ‘roll call’ pada setiap pagi Rabu bermula pukul 6.30 pagi amat mendisiplinkan dirinya.

 

“Penyertaan diri dalam SUKSIS bukanlah paksaan sesiapa tetapi atas kehendak saya sendiri dan saya tidak merasa sebagai satu beban kerana kemahiran membahagi masa dengan bijak juga dapat saya peroleh,” katanya.

 

Sementara itu, Aniq Hamizan Mislani, 22, berkata selain dapat mendisiplinkan diri melalui penglibatan diri dalam PALAPES, beliau dapat membiasakan diri untuk bekerja secara berkumpulan dan bekerjasama tanpa mementingkan diri.

 

Beliau yang merupakan pelajar Bacelor Sains Pengurusan Perladangan berkata dalam pasukan ketika latihan tiada istilah senang secara bersendirian namun setiap cabaran ketika latihan perlu diselesaikan bersama.

 

“Kami diajar untuk bekerja secara satu kumpulan. Penat bersama dan susah juga bersama begitu juga jika senang. Selain itu, kami juga menerima elaun latihan di samping memperoleh pakaian baju uniform termasuk kasut secara percuma,” luahnya.

 

Seorang pelajar Bacelor Sains Perladangan, Muhammad Nurhaziq Khairunnizam, 21 pula berkata penglibatan dalam unit uniform SUKSIS tidak mengganggu masa pembelajaran.

 Mungkin imej 7 orang

“Hal ini demikian kerana, perhimpunan pagi ialah pada hari Rabu sebelum kelas bermula dan latihan pula bermula pukul 6.30 pagi hingga 7 petang pada setiap hari Sabtu sahaja.

 

“Tidak dinafikan bahawa disiplin merupakan aspek penting yang dipupuk dalam badan berunifrom. Apabila kita menjadi orang pertama yang bangun pada hari Rabu kita perlu mengejutkan rakan-rakan yang lain untuk bangun roll coll,” katanya.

 

Bagi pelajar semester 3, Bacelor Perniagaantani Dengan Kepujian, Wan Hanif Faisal Wan Hussain, 21, beliau meluahkan rasa hati yang terpaut unit beruniform SISPA kerana latihan yang lebih ringkas berbanding PALAPES dan SUKSIS.

 

“Latihan SISPA hanya pada hari sabtu sahaja iaitu bermula 7.30 pagi sehingga 2 petang tidak seperti PALAPES yang memerlukan latihan pada sabtu dan ahad.

 

“Menariknya SISPA ini adalah kami akan menjadi antara barisan hadapan semasa negara ditimpa bencana dan perkara ini sememangnya memberikan nilai tambah dalam diri saya dan pengalaman baharu,” katanya.

 

Dalam pada itu, penglibatan dua gadis dalam PALAPES iaitu Amiza Nur Ain Ishak, 21, dan Ismahani Husna Jumri, 21, menjadikan mereka lebih berani selain meningkatkan ketahanan mental dan fizikal.

 

Masing-masing yang merupakan penuntut Bacelor Sains Hortikultur mengakui ada masanya mereka berputus asa dan penat semasa dalam latihan.

 

“Namun kami perlu sentiasa positif dan mengakhiri perkara yang telah dimulakan. Pengalaman berharga seperti mempelajari dan mengendalikan pelbagai jenis senjata tidak akan diperoleh sekiranya tidak menyertai PALAPES. Semoga kami berjaya menamatkan latihan dengan baik dan ditauliahkan,” kata Amiza. -UPM

Date of Input: 24/01/2024 | Updated: 25/01/2024 | ezzatyazhari

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXMWMAE~