Menarik Minat Pelajar Memilih Subjek STEM Menggunakan Aplikasi Mobil Realiti Imbuhan | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Menarik minat pelajar memilih subjek STEM menggunakan aplikasi mobil realiti imbuhan

Menarik minat pelajar memilih subjek STEM menggunakan aplikasi mobil realiti imbuhan

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris** 

Oleh Prof. Dr. Rahmita Wirza O.K. Rahmat

Merujuk isu kemerosotan peratus pelajar yang memilih dan mengambil mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang telah disiarkan dalam akhbar pada 28 April 2019 dan ulasan Dr Ahmad Rafee, Ketua Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan yang berpendapat kurang membaca merupakan salah satu punca utama kemerosotan tersebut.

Secara asasnya, membaca merupakan suatu aktiviti yang senang dilakukan namun untuk menjadikannya satu budaya atau amalan adalah agak sukar. Latar belakang keluarga berpendidikan yang tinggi belum tentu menjamin minat dan penghayatan budaya membaca terutama dengan kemajuan peranti-peranti mudah-alih.

Namun terdapat pelbagai pilihan aplikasi mobil yang mengandungi bahan bacaan yang boleh dimuat turun secara percuma atau berbayar. Meninjau Pameran Antarabangsa Buku Kuala Lumpur (PABKL) yang baru saja berlalu iaitu pada 29 Mac - 7 April 2019, jumlah pengunjung yang meningkat iaitu 41,000 pengunjung pada hari pertama manakala 56,000 pada hari kedua, dapat disimpulkan bahawa masih ramai rakyat Malaysia yang suka membaca dan sanggup membeli buku.

Namun, ini belum sepenuhnya memberikan gambaran sebenar tentang budaya membaca rakyat Malaysia.

Walau bagaimanapun bersandarkan Statistik Pinjaman Perpustakaan Selangor bagi bulan Disember 2018, peminjam kumpulan umur dewasa adalah seramai 41,538 orang, kumpulan umur remaja seramai 6,271 dan kanak-kanak seramai 33,965 yang mana data merangkumi perpustakaan Pusat, Daerah, Cawangan, Pekan, Desa juga perpustakaan bergerak.

Ini menunjukkan di Selangor sahaja, minat membaca rakyat Malaysia sudah tersemai.

Bagi mempercepatkan budaya membaca ke seluruh Malaysia merangkumi setiap umur, cadangan yang menarik adalah penggunaan Aplikasi Realiti Imbuhan (AR) dalam Pendidikan, yang mana kandungan bahan bacaan diterapkan di dalam aplikasi manakala model 3D, animasi atau video dipaparkan secara maya bagi membantu pemahaman.

Realiti Imbuhan telah dicipta pada tahun 1968 oleh Profesor Dr Ivan Sutherland dan semenjak itu kemajuan teknikel AR dalam fasa penyelidikan sangat aktif bercambah dan berkembang.

Perkembangan AR semakin ketara apabila terciptanya telefon bimbit pintar. Semakin pintar dan meningkat kemampuan membeli telefon bimbit di pasaran, semakin rancak perkembangan penggunaan AR terutama dalam sektor pendidikan.

Secara asasnya, terdapat dua jenis aplikasi AR iaitu berasaskan penanda dan tanpa penanda. Kebiasaannya AR yang berasaskan penanda memerlukan imej sama ada cetakan atau digital yang bertindak sebagai penanda untuk meletakkan posisi objek maya 3D.

Dengan mengesan penanda AR menerusi rakaman kamera web atau kamera mobil, elemen maya kemudian akan dijanakan oleh aplikasi AR dan dipaparkan pada skrin peranti. Namun, tinjauan kasar didapati, setelah sekian tahun, aplikasi AR masih kurang digunapakai dalam aplikasi dunia sebenar.

Kemungkinan kekurangan ini adalah disebabkan kekangan penggunaan mobil atau peranti mudah-alih di sekolah-sekolah atau prosedur penggunaan yang agak berbeza dari kaedah pembelajaran tradisional atau mungkin aplikasi yang dibangunkan sebelum ini tidak mengambil kira permasalahan yang sebenar dalam dunia pendidikan.

Kepekaan pembangun aplikasi AR terhadap permasalahan pembelajaran dan pengajaran dalam subjek-subjek STEM perlu ditekankan, iaitu (i) kesukaran memahami subjek-subjek STEM, (ii) teknik pengajaran yang kurang menarik dan (iii) kemudahan prasarana untuk pembelajaran subjek-subjek STEM yang terhad.

Bagi mengatasi permasalahan yang pertama, pembangun aplikasi mobil AR sebaiknya bekerjasama dengan guru-guru yang mengajar subjek STEM dari seawal rekabentuk sehingga fasa ujian penerimaan pengguna.

Rekabentuk dan papan cerita sebaiknya menepati kaedah pengajaran dengan memahami masalah pemahaman subjek-subjek STEM.

Pembangun aplikasi mobil AR yang menguasai dan menggunakan kelebihan AR, iaitu paparan model dan animasi 3D yang berinteraksi dengan pengguna dapat menghasilkan aplikasi AR yang mempunyai kelebihan teknik pengajaran yang menarik.

Pengguna dapat berinteraksi dengan objek maya 3D sama ada secara gerakan tangan pada skrin peranti, atau butang maya AR. Kelebihan ini berupaya menyelesaikan masalah kedua yang disebut sebelum ini.

Sementara bagi kekurangan kemudahan prasarana, melalui rekabentuk yang sesuai, ujikaji-ujikaji yang melibatkan keperluan amali, dapat disimulasi dalam aplikasi AR dengan fungsi-fungsi interaksi.

Bagi memahami dan meneroka lebih mendalam masalah ini, di bawah geran penyelidikan TRGS, tiga prototaip telah dibangunkan dan ujian bersiri penerimaan pengguna telah dijalankan terhadap 30 orang pelajar-pelajar perubatan.

Tiga prototaip aplikasi Mobil AR ini terdiri dari aplikasi mobil dan, (i) Penanda dan nota bercetak, (ii) Penanda dan nota digital dan (iii) nota sepenuhnya dalam aplikasi AR manakala penanda merupakan objek fizikal 3D (sasaran objek).

Isi kandungan nota adalah berkenaan anatomi manusia dan AR objek adalah model 3D anatomi manusia. Didapati pelajar-pelajar cenderung memilih prototaip ketiga yang mana nota sepenuhnya dalam peranti mudah alih dan penanda objek fizikal 3D.

Jika dapatan ini di gunakan bagi pembangunan aplikasi mobil AR untuk pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah, kemungkinan besar bilangan pelajar cenderung memilih subjek-subjek STEM akan meningkat kerana pembelajaran yang lebih menarik, mudah difahami dan kurang memerlukan pelengkapan makmal.

Prof. Dr. Rahmita Wirza O.K. Rahmat

Pakar Komputer Grafik

Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat

Date of Input: 22/10/2019 | Updated: 22/10/2019 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXMTSAX~