Kenaikan Insentif Getah Bantu Pekebun Kecil, Produktiviti Perlu Diperkasa | Universiti Putra Malaysia 99 spel-int
» ARTIKEL » Kenaikan Insentif Getah Bantu Pekebun Kecil, Produktiviti Perlu Diperkasa

Kenaikan Insentif Getah Bantu Pekebun Kecil, Produktiviti Perlu Diperkasa

Ringkasan Artikel
Cabaran industri getah tidak terhad kepada isu harga semata-mata. Produktiviti yang rendah, pokok getah yang semakin tua, kadar penanaman semula yang belum mencukupi serta kekurangan tenaga kerja muda merupakan antara cabaran struktur yang memerlukan penyelesaian jangka panjang.


 

 

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin



Kenaikan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM3.00 kepada RM3.30 sekilogram merupakan langkah penting untuk melindungi pendapatan pekebun kecil, namun usaha meningkatkan produktiviti dan memperbaharui kebun perlu diperkasa bagi memastikan industri getah negara terus berdaya saing.

 

Timbalan Pengarah (Pengembangan Pertanian), Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Norsida Man berkata, kenaikan insentif itu berperanan sebagai jaringan keselamatan pendapatan ketika harga getah pasaran merosot, sekali gus membantu pekebun kecil menampung sebahagian kos sara hidup.

 

“IPG berfungsi sebagai mekanisme sokongan harga yang membolehkan kerajaan menampung perbezaan apabila harga pasaran berada di bawah paras yang ditetapkan. Bagaimanapun, bantuan ini lebih bersifat melindungi pendapatan daripada meningkatkan keuntungan pekebun secara ketara.

 

“Kenaikan 30 sen sekilogram masih belum mencukupi untuk mengimbangi peningkatan kos pengeluaran, termasuk kos input pertanian, sedangkan pekebun kecil terus berdepan ketidaktentuan harga dan hasil kebun,” katanya.

 

Menurut beliau, peningkatan pendapatan pekebun bukan sahaja bergantung pada harga jualan, malah turut dipengaruhi kuantiti hasil dan kos pengeluaran. Oleh itu, sokongan harga perlu disertai langkah meningkatkan hasil serta mengurangkan kos pengurusan kebun.

 

Beliau berkata, sokongan harga juga penting untuk menggalakkan pekebun meneruskan aktiviti menoreh dan mengurangkan risiko kebun terbiar, sekali gus membantu mengekalkan bekalan getah tempatan bagi memenuhi keperluan industri hiliran negara.

 

Bagaimanapun, cabaran industri getah tidak terhad kepada isu harga semata-mata. Produktiviti yang rendah, pokok getah yang semakin tua, kadar penanaman semula yang belum mencukupi serta kekurangan tenaga kerja muda merupakan antara cabaran struktur yang memerlukan penyelesaian jangka panjang.

 

Sehubungan itu, Prof. Dr. Norsida berkata, bantuan harga perlu dilengkapi dengan subsidi input bersasar bagi menangani kos pengeluaran secara langsung.

 

“Bantuan harga sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah peningkatan kos pengeluaran. Oleh itu, subsidi input bersasar melalui baucar digital untuk pembelian baja dan racun boleh dipertimbangkan bagi membantu pekebun mengurangkan kos operasi secara langsung,” katanya.

 

Selain itu, program penanaman semula perlu dipercepat dengan menggalakkan penggunaan klon getah berproduktiviti tinggi yang mampu menghasilkan lateks dengan lebih banyak, sekali gus meningkatkan hasil dan pulangan pekebun dalam jangka panjang.

 

Menurutnya, penggunaan klon yang disyorkan boleh dijadikan antara syarat penerimaan bantuan penanaman semula RISDA bagi memastikan peruntukan kerajaan dimanfaatkan untuk meningkatkan produktiviti kebun.

 

Beliau turut mencadangkan penggunaan sistem digital dalam urusan permohonan, pembayaran dan pemantauan bantuan diperkukuh bagi meningkatkan ketelusan, mengurangkan ketirisan serta memastikan pekebun menerima bantuan dalam tempoh yang sewajarnya.

 

Dalam pada itu, isu kekurangan tenaga kerja perlu ditangani secara serius memandangkan peningkatan usia pekebun dan kekurangan tenaga penoreh boleh menyebabkan lebih banyak kebun terbiar serta menjejaskan pengeluaran getah negara.

 

“Oleh itu, sektor getah perlu dibangunkan sebagai satu kerjaya komersial yang mampu menjana pendapatan mampan, bukan sekadar aktiviti sara diri.

 

“Pendekatan pengurusan kebun secara profesional, termasuk melalui koperasi atau pasukan menoreh, boleh diperkukuh bagi memastikan kebun terus diusahakan walaupun pemiliknya tidak lagi mampu menoreh sendiri,” katanya.

 

Beliau berkata, pendekatan menyeluruh yang menggabungkan bantuan bersasar, penggunaan klon berproduktiviti tinggi, pendigitalan penyampaian bantuan dan pengurusan kebun secara komersial penting untuk memastikan sokongan kerajaan bukan sahaja membantu pekebun menghadapi tekanan semasa, malah memperkukuh daya saing industri getah negara dalam jangka panjang.

Tarikh Input: 16/10/2026 | Kemaskini: 18/11/2026 | syamilakamarul

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BZLVXAN~