Article Summary
Pengalaman luas di ladang sejak lebih dua dekad lalu menjadikan Isyhak Dollah, 51, seorang pembantu veterinar di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), antara individu unik yang memiliki kemahiran luar biasa – mampu memanggil dan mengawal pergerakan lembu hanya menggunakan suara.
Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim

Pengalaman luas di ladang sejak lebih dua dekad lalu menjadikan Isyhak Dollah, 51, seorang pembantu veterinar di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), antara individu unik yang memiliki kemahiran luar biasa – mampu memanggil dan mengawal pergerakan lembu hanya menggunakan suara.
Berbekalkan pengalaman awal sebagai penyelia ladang di sebuah syarikat perladangan di Bintulu pada tahun 1997, Isyhak kini berkhidmat di UPMS selama 17 tahun dengan tanggungjawab utama mengurus dan menjaga ternakan lembu, kerbau serta rusa di kampus tersebut.
“Selain menyelia ternakan, saya turut membantu aktiviti pembelajaran pelajar dalam bidang penternakan, khususnya bagi program Diploma Kesihatan Haiwan dan Peternakan, Diploma Pertanian serta Diploma Pengurusan Perladangan Makanan,” katanya ketika ditemui di UPMS baru-baru ini.

Menurutnya, kemahiran memanggil lembu itu bukan sekadar kebolehan semula jadi, tetapi hasil pengalaman dan latihan berterusan ketika mengurus ladang terbuka di mana ternakan dilepaskan untuk meragut rumput di kawasan tertentu.
“Dulu di ladang, lembu akan dipindahkan setiap hari ke kawasan ragutan baharu. Cara paling berkesan ialah memanggil mereka menggunakan suara kerana jarak antara kawasan boleh jadi agak jauh,” katanya.
Menjelaskan kaedah yang digunakan, Isyhak berkata teknik tersebut memerlukan kerjasama sekurang-kurangnya dua orang petugas bagi memastikan kawalan pergerakan ternakan lebih teratur.

“Seorang akan bertugas memanggil lembu dari hadapan, manakala seorang lagi berada di belakang untuk membantu menghalau dan memastikan semua ternakan bergerak mengikut arah yang ditetapkan,” katanya.
Tambahnya, latihan panggilan dilakukan secara berulang selama beberapa hari sehingga lembu mula mengenali dan memberi tindak balas terhadap suara tertentu.
“Setiap kali panggilan dilakukan, ternakan diberi makanan atau dibawa ke kawasan ragutan baharu sebagai bentuk ganjaran.
Selepas seminggu, kebiasaannya lembu sudah mampu bergerak sendiri apabila mendengar panggilan tanpa perlu dihalau,” jelasnya.
Keunikan kemahiran tersebut bukan sahaja memudahkan urusan pengurusan ternakan di UPMS, malah menjadi nilai tambah kepada pelajar yang berpeluang mempelajari amalan lapangan sebenar dalam industri penternakan.
Date of Input: 30/10/2025 | Updated: 30/10/2025 | hairul_nizam

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA