FENOMENA BAZAR RAMADAN: ANTARA KRITIKAN DAN MANFAAT, TETAP JADI TUMPUAN | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » FENOMENA BAZAR RAMADAN: ANTARA KRITIKAN DAN MANFAAT, TETAP JADI TUMPUAN

FENOMENA BAZAR RAMADAN: ANTARA KRITIKAN DAN MANFAAT, TETAP JADI TUMPUAN

Article Summary
Bazar Ramadan bukan sekadar tempat membeli makanan, tetapi fenomena budaya yang meriah dan memberi manfaat ekonomi. Selain itu, bazar Ramadan merupakan tradisi tahunan yang sentiasa dinantikan oleh masyarakat apabila tiba bulan Ramadan.


Oleh: Nurin Amyra Amir Ahmad
Wartawan Pelatih
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM

 

 

 

Bazar Ramadan bukan sekadar tempat membeli makanan, tetapi fenomena budaya yang meriah dan memberi manfaat ekonomi. Selain itu, bazar Ramadan merupakan tradisi tahunan yang sentiasa dinantikan oleh masyarakat apabila tiba bulan Ramadan.

 

Namun, di sebalik kemeriahan itu, terdapat juga kritikan antaranya harga makanan yang melambung, saiz hidangan yang semakin mengecil, serta kualiti yang tidak menentu sering menjadi perbualan hangat.

 

Walaupun begitu, tiada yang dapat menafikan bahawa bazar Ramadan tetap menjadi ‘lubuk rezeki’ bagi para peniaga kecil dan medium serta medan sosial bagi masyarakat.

 

Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah, Jaringan Industri dan Masyarakat), Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Zainal Madon, berkata bazar Ramadan bukan sekadar platform jual beli tetapi juga mencerminkan budaya masyarakat Malaysia yang mengutamakan kebersamaan dan sokongan ekonomi tempatan.

 

“Bazar Ramadan adalah ruang untuk usahawan kecil menjana pendapatan dan tempat di mana komuniti dapat berkumpul. Ini bukan sekadar memenuhi keperluan perut, tetapi satu bentuk hiburan dan interaksi sosial yang mengeratkan hubungan antara jiran, rakan, dan ahli keluarga,” katanya.

 

 

Beliau juga menegaskan bahawa budaya bazar Ramadan mencerminkan sifat collectivism, iaitu masyarakat yang hidup dalam kelompok saling menyokong.

 

“Kita sering melihat ramai yang membeli makanan bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk keluarga, jiran, malah untuk disedekahkan. Ini mencerminkan semangat tolong-menolong yang begitu sinonim dengan masyarakat kita,” katanya.

 

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), UPM, Dr. Taha Mohd Omar, berkata bazar Ramadan bukan sahaja menghidupkan ekonomi tempatan tetapi juga menyumbang lebih RM2 bilion kepada ekonomi Malaysia pada tahun 2023.

 

“Orang ramai cenderung berbelanja lebih di bazar Ramadan kerana ia sudah menjadi tradisi. Faktor nostalgia, budaya ‘food hunting’, serta keunikan juadah yang hanya muncul setahun sekali menjadi tarikan utama,” katanya.

 

Bagi memperkasakan lagi peranan bazar Ramadan, Dr. Taha menyarankan agar kerajaan dan peniaga mengambil pendekatan yang lebih strategik.

 

“Dana bantuan atau pinjaman mikro rendah perlu disediakan untuk membantu peniaga kecil. Selain itu, kemudahan asas seperti kanopi, bekalan air bersih, elektrik, serta sistem saliran yang baik perlu diperbaiki supaya operasi lebih lancar dan selesa untuk semua,” katanya.

 

Beliau turut menekankan pentingnya latihan dalam pengurusan kewangan, pemasaran digital, dan kebersihan makanan agar peniaga dapat bersaing dengan lebih sihat.

 

Dr. Taha berkata, untuk memastikan bazar Ramadan kekal relevan dan menguntungkan, peniaga harus bijak mengatur strategi.

 

“Harga juadah perlu kompetitif dan sepadan dengan kualiti. Kos bahan mentah boleh dikurangkan dengan mendapatkan stok pada harga borong, selain meneroka pendekatan menu inovatif yang boleh menarik lebih ramai pelanggan,” katanya.

 

Beliau juga mencadangkan agar bazar Ramadan lebih daripada sekadar pusat jualan makanan.

 

“Kita boleh menambah tarikan seperti program seni budaya, ceramah santai, serta aktiviti interaktif bagi memeriahkan suasana dan menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.

 

 

Memandangkan bazar Ramadan sudah menjadi satu ikon dalam kalendar tahunan, Dr. Taha berpendapat ia wajar dipromosikan sebagai tarikan pelancongan.

 

“Dengan pengurusan sistematik dan program interaktif yang menggabungkan elemen tradisional dan moden, bazar Ramadan boleh dijadikan destinasi wajib dalam industri pelancongan Malaysia,” katanya.

 

Selain itu, penggunaan transaksi tanpa tunai juga boleh digalakkan untuk melancarkan urusan jual beli dan meningkatkan keselamatan kewangan peniaga serta pelanggan.

 

“Kualiti makanan dan kebersihan perlu diberi keutamaan kerana ia adalah faktor utama yang boleh menarik dan mengekalkan pelanggan tetap,” katanya.

Date of Input: 11/03/2025 | Updated: 11/03/2025 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYDMRAj~